KP, pengarah jabatan kerajaan disyaki seleweng RM900,000 dilepas SPRM

KP, pengarah jabatan kerajaan disyaki seleweng RM900,000 dilepas SPRM

SPRM berkata kertas siasatan terhadap suspek sedang disiapkan sebelum diserah kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan lanjut.

macc sprm
SPRM berkata ketua pengarah dan pengarah jabatan kerajaan itu dibebaskan lebih awal daripada tempoh reman selepas proses rakaman percakapan selesai dijalankan.
PETALING JAYA:
Ketua pengarah dan pengarah sebuah jabatan agensi kerajaan yang direman berkait penyelewengan dana kira-kira RM900,000, dilepaskan dengan jaminan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut sumber SPRM, suspek yang disyaki menyalahgunakan kuasa dan kedudukan dengan menggunakan peruntukan kewangan di tempat mereka bekerja untuk kepentingan peribadi, dilepaskan pada Jumaat dan Sabtu lalu.

“Pada 11 Feb lalu, mereka ditahan reman selama lima hari hingga hari ini. Bagaimanapun, mereka dilepaskan lebih awal daripada tempoh yang ditetapkan selepas proses rakaman percakapan selesai dijalankan.

“SPRM kini sedang melengkapkan siasatan untuk diserahkan kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Kedua-dua suspek lelaki berusia lingkungan 50-an itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.

Mereka juga dipercayai mengemukakan tuntutan dan dokumen mengandungi butir matan palsu berjumlah kira-kira RM60,000 untuk menunaikan umrah semasa menghadiri urusan rasmi di Jeddah pada 29 Jan hingga 4 Feb tahun lalu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Ahmad Khusairi Yahaya, ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

Beliau berkata, seramai 18 saksi dirakam percakapan bagi membantu siasatan kes tersebut.

Tambahnya, SPRM turut menyita beberapa barangan berharga termasuk pakaian, gajet, barangan elektronik dan peralatan sukan dengan nilai keseluruhan dianggarkan kira-kira RM57,000.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.