
Ketua Pengarah Imigresen, Ruslin Jusoh berkata, mereka dipercayai masih berada di sekitar Perak, dalam kalangan komuniti mereka.
“Kita masih mengesan baki 30 orang berkenaan dan kita percaya mereka sudah berada dalam masyarakat mereka. Kita laksana operasi ke kawasan penempatan warga asing khususnya Rohingya,” katanya dalam temu bual hari ini.
“Setiap kali operasi dilakukan di penempatan warga asing, semakan cap jari juga akan dibuat memandangkan kemungkinan mereka (tahanan) sudah berada dalam masyarakat dan sukar buat pengecaman wajah.”
Pada 1 Feb lepas, 131 Pati terdiri daripada 115 Rohingya, 15 warga Myanmar dan seorang warga Bangladesh melarikan diri dari blok lelaki depot tahanan itu. Dua daripadanya dilaporkan meninggal dunia dalam nahas jalan raya.
Mengenai status pengoperasian Depot Imigresen Bidor, Ruslin berkata, depot berkenaan masih ditutup buat sementara.
Katanya, Jabatan Imigresen dalam proses akhir mendapatkan laporan serta cadangan berhubung hala tuju depot itu.
Beliau berkata, Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO) dan agensi penguat kuasa lain sudah melawat depot itu bagi memberi maklum balas berhubung hala tujunya.
“Kesemua ini akan dijadikan asas untuk kita bawa syor mungkin pada Mac ini kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN).
“Kes di Bidor ini kita akan jadikan tindakan penambahbaikan aspek keselamatan dan diperluas ke depot lain sekiranya ada keperluan.”
Dilaporkan selepas insiden berkenaan, 435 Pati yang berada di depot itu dipindahkan ke enam depot lain, termasuk Machap di Melaka; Lenggeng, Negeri Sembilan; Bukit Jalil, Kuala Lumpur; Kemayan, Pahang; dan Langkap di Perak.