
Ketua Menteri Hajiji Noor berkata, ketegasan itu susulan kejayaan pihak berkuasa menumpaskan sindiket dadah antarabangsa di negeri itu baru-baru ini, sekali gus membuktikan komitmen berterusan dalam membanteras sindiket pengedaran dadah.
Beliau berkata, kerajaan negeri memandang serius isu pengedaran dadah dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam kegiatan jenayah itu.
“Saya telah berhubung dengan Ketua Polis Negara (Khalid Ismail) supaya tindakan tegas diambil terhadap kartel atau sindiket yang terlibat. Kita tidak boleh benarkan Sabah menjadi transit atau hab pengedaran dadah,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Kebun Dapur Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (Maffi) di Padang Istiadat hari ini.
Hadir sama, Menteri Maffi Jamawi Jaafar, Pembantu Menteri Maffi Ruslan Muharam dan Ahli Parlimen Tuaran Wilfred Madius Tangau.
Hajiji berkata, penguatkuasaan perlu diperkukuh secara menyeluruh dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk polis, Jabatan Kastam dan Jabatan Imigresen.
Katanya, kawalan ketat mesti dilaksanakan di semua pintu masuk negeri melibatkan laluan laut, udara dan darat bagi memastikan kegiatan penyeludupan serta pengedaran dadah dapat dibanteras sepenuhnya.
“Sabah perlu dikawal daripada menjadi transit pengedaran. Tahniah kepada polis kerana berjaya menangkap dan membanteras kegiatan pengedaran dadah di Sabah,” katanya.
Pada Jumaat lepas, polis bersama agensi penguatkuasaan lain telah berjaya merampas pelbagai jenis dadah di beberapa kawasan di negeri itu dalam Ops Coleoptera dan Ops Bayu 2, dianggarkan bernilai lebih RM240 juta.