
Ketua Pemuda Afnan Hamimi Taib Azamudden tidak menyatakan iktibar yang diambil oleh gabungan itu daripada titah Sultan Ibrahim, namun mendesak Anwar “henti bermain politik” dengan pembangkang.
“Jika Ahli Parlimen pembangkang dilayan sama rata dan diberikan hak yang sepatutnya; jika empat kerajaan negeri di bawah PN dimudahkan semua permohonan projek pembangunan dan dilayan mengikut prinsip federalisme yang sepatutnya; maka tiada masalah untuk kerajaan yang ada ini untuk terus mentadbir sehingga PRU16,” katanya yang juga ketua Pemuda PAS.
Terdahulu, Sultan Ibrahim mengingatkan Ahli Parlimen supaya menunggu pilihan raya akan datang jika hendak “bermain politik”.
“Ingin saya tegaskan… saya tidak akan melayan mana mana pihak yang menggugat kestabilan politik negara. Semua pihak mestilah menerima kenyataan dan hormati kerajaan perpaduan yang telah dibentuk,” titah baginda semasa dalam Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen Ke-15 di Dewan Rakyat.
Januari lalu, menteri besar Kedah yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Sanusi Nor, dipetik mendakwa kerajaan perpaduan akan tumbang sebelum tamat penggalnya.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang dilapor menyifatkan pertukaran kerajaan adalah amalan biasa dalam demokrasi menerusi undi tidak percaya atau melalui akuan berkanun yang mencukupi jumlahnya.
Afnan menuduh Anwar mengenakan syarat kepada pembangkang untuk menyokongnya bagi mendapatkan peruntukan pembangunan. Anwar menafikan tuduhan itu dan membidas pembangkang kerana enggan berunding mengenai perkara itu.
Anwar turut menegaskan rakyat kawasan pembangkang tidak dinafikan bantuan kerana peruntukan untuk projek mesra rakyat tetap disalurkan kepada mereka, termasuk di Kelantan dan Terengganu.
Sementara itu, Ketua Penerangan Bersatu, Razali Idris, berkata teguran Agong ditujukan kepada semua wakil rakyat bukan khusus terhadap pembangkang.
Beliau mendakwa, pihak sering mencetuskan ketidakstabilan politik negara adalah dalam kalangan pemimpin kerajaan sendiri.
“Kita tengok yang banyak main politik ialah pihak kerajaan. Kenapa takut sangat, pembangkang memang mengkritik nak jadi semak (dan) imbang.
“Apa isu yang terjadi dalam negara…barang mahal, ringgit jatuh, memang kita kena bangkit, takkan bila kita kritik ia jadi ketakutan kepada perdana menteri konon kita nak runtuh kerajaan,” katanya.