Menteri ada kuasa tamat khidmat KP lembaga penggalakan pelancongan

Menteri ada kuasa tamat khidmat KP lembaga penggalakan pelancongan

Ketua setiausaha negara berkata perkara itu telah dijelaskan dalam Akta Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia.

Zuki Ali berkata bidang kuasa untuk melantik dan menamatkan perkhidmatan ketua pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia adalah di bawah menteri pelancongan, seni dan budaya.
KUALA SELANGOR:
Ketua Setiausaha Negara Zuki Ali menjelaskan bahawa bidang kuasa untuk melantik dan menamatkan perkhidmatan ketua pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia adalah di bawah menteri pelancongan, seni dan budaya.

Beliau berkata perkara itu telah dijelaskan dalam Akta Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (Akta 481).

“Sebenarnya bidang kuasa untuk melantik Ketua Pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia adalah di bawah kuasa Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, di bawah Akta 481 iaitu kuasa menteri untuk melantik dan menamatkan perkhidmatannya.

“Kadang-kadang kita perlu beri penjelasan kepada rakyat kerana saya difahamkan isu ini berlaku dan ditularkan, dalam surat pewartaan yang dikeluarkan mengatakan ia di bawah bidang kuasa menteri berkenaan, jadi apa-apa penjelasan adalah daripada menteri terbabit,” katanya selepas menghadiri raptai perasmian penutup Program Madani Rakyat Zon Tengah di Kompleks Sukan Kuala Selangor.

Zuki menjawab dakwaan berhubung pemecatan ketua pengarah Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia Ammar Abd Ghapar susulan penularan surat bertarikh 22 Feb berkenaan notis penamatan pelantikannya berkuat kuasa Isnin depan.

Surat berkenaan antara lain memaklumkan penamatan perkhidmatan Ammar itu dilakukan selaras dengan peruntukan Subseksyen 10 (1) Akta 481 yang dibaca bersama dengan peruntukan Seksyen 47 Akta Tafsiran 1948 dan 1967.

Terdahulu, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing menafikan Ammar dipecat daripada jawatan itu, sebaliknya beliau diturunkan pangkat kepada timbalan ketua pengarah atas faktor kemerosotan prestasi Ammar yang disifatkan beliau sebagai tidak memuaskan, selain tidak mencapai standard ditetapkan walaupun telah beberapa kali dinasihat dan diberikan peluang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.