Lebih ramai pelancong ketika saya jadi timbalan menteri pelancongan, kata Mas Ermieyati

Lebih ramai pelancong ketika saya jadi timbalan menteri pelancongan, kata Mas Ermieyati

Ahli Parlimen Masjid Tanah itu membidas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing yang mempersoalkan sumbangannya dari 2015 hingga 2018.

Mas Ermieyati Samsudin Tiong King Sing
Mas Ermieyati Samsudin menggesa Tiong King Sing agar tidak meletakkan kesalahan pada pihak lain bagi menutup kesilapan atau kelemahannya sendiri.
PETALING JAYA:
Mas Ermieyati Samsudin membalas kritikan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing yang mempersoalkan pencapaiannya ketika menjadi timbalan menteri pelancongan dari 2015 hingga 2018.

Ahli Parlimen Masjid Tanah itu membandingkan jumlah ketibaan pelancong, termasuk dari China, dalam tempoh empat tahun beliau menjadi timbalan menteri pelancongan dengan angka setakat tahun ini.

“Pada 2015, kedatangan pelancong seramai 25.6 juta, dengan pelancong daripada China seramai 1.6 juta. Dan pada 2016, naik 4%, menjadikan jumlah kedatangan pelancong seramai 26.8 juta, dan pelancong dari China 2.1 juta. Dan yang paling ‘best’, hasil pendapatan negara daripada pelancongan ketika itu mencatatkan kenaikan 18.8%, menjadikan keseluruhan pendapatan negara hasil daripada pelancong (sebanyak) RM82 bilion,” katanya menerusi video di Instagram.

Sementara itu, katanya, pada 2017, seramai 25.9 juta pelancong datang ke Malaysia, dengan 2.3 juta dari China, manakala pada 2018, seramai 25.8 juta pelancong datang, dengan 2.9 juta pelancong China.

“Ini amat berbeza sekali dengan hasil pendapatan negara yang kita sasarkan pada tahun ini adalah sebanyak RM102.7 bilion, dan (Tiong) juga mensasarkan kedatangan pelancong tahun ini seramai 27.3 juta.

“Tetapi dari Januari hingga September, atas kewibawaan (Tiong) sebagai menteri, pelancong yang hadir hanya 18.38 juta … sangat jauh berbanding ketika saya jadi timbalan menteri,” tambahnya.

Mas Ermieyati yang juga ketua Wanita Bersatu itu menggesa Tiong menumpukan perhatian kepada tugasnya sebagai menteri pelancongan dan tidak meletakkan kesalahan pada pihak lain bagi menutup kesilapan atau kelemahannya sendiri.

Beliau turut ‘menarik balik’ kenyataannya di Dewan Rakyat yang menggesa Tiong dipindahkan ke kementerian lain, sebaliknya berkata beliau akan mencadangkan kepada perdana menteri supaya Tiong digugurkan sebagai menteri.

Pada Isnin, Mas Ermieyati membidas Tiong berhubung kenyataannya mengenai papan tanda dalam bahasa Cina dengan berkata, menjadi tanggungjawab Tiong sebagai menteri yang menjaga hal ehwal kebudayaan untuk turut mempertahankan bahasa kebangsaan Malaysia.

Beliau turut mencadangkan agar perdana menteri mempertimbangkan menukar portfolio Tiong kepada sesuatu yang tertumpu kepada tindakan penguatkuasaan.

Membalas kenyataan Mas Ermieyati, Tiong mempersoalkan sumbangan beliau kepada negara semasa menjadi timbalan menteri pelancongan bawah pentadbiran Najib Razak.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.