Reaksi berlebihan beri kesan pada sektor pelancongan, kata menteri berkait kibar bendera China

Reaksi berlebihan beri kesan pada sektor pelancongan, kata menteri berkait kibar bendera China

Tiong King Sing berkata, ia menimbulkan tanggapan seolah-olah Malaysia tidak mengalu-alukan kedatangan pelancong asing menyertai acara kebudayaan tempatan.

Tiong King Sing
(Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing juga berharap isu itu diselesaikan segera dengan harmoni dan mesra. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Reaksi berlebihan sesetengah pihak berhubung kontroversi perarakan sambil mengibar bendera China dalam sambutan Guan Gong Sedunia di Menara Condong, Teluk Intan baru-baru ini dibimbangi memberi kesan kepada sektor pelancongan negara.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing berkata, ia bukan sahaja bertentangan dengan nilai kesederhanaan tetapi berisiko menimbulkan tanggapan seolah-olah Malaysia tidak mengalu-alukan kedatangan pelancong asing menyertai acara kebudayaan tempatan.

“Sambutan Guan Gong Sedunia merupakan acara kebudayaan antarabangsa yang menjemput peserta dari beberapa negara seperti Vietnam, Thailand, dan China, untuk menyertai perarakan tersebut.

“Peserta dari negara China mungkin mengibarkan bendera negara mereka sebagai tanda sokongan dan semangat meraikan perayaan itu bersama orang lain daripada pelbagai latar belakang, terutamanya sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik Malaysia-China,” katanya dalam kenyataan.

Tiong berkata, beberapa pihak mengambil kesempatan daripada insiden tersebut dengan membesar-besarkan perkara itu sekaligus mengeruhkan lagi keadaan.

“Ramai rakyat Malaysia menyuarakan kebimbangan mereka bahawa rakyat pelbagai etnik di Malaysia telah lama diberi kebebasan untuk mengadakan acara dan perayaan kebudayaan.

“Sebelum ini, bendera negara lain telah dikibarkan dengan jelas di acara yang dianjurkan di negara ini tanpa menimbulkan kritikan begitu keras. Ia menimbulkan persoalan mengapa, dalam hal ini, pengkritik bertindak pilih bulu atau ‘double standard’?” soalnya.

Perarakan berunsurkan keagamaan dan melibatkan kereta berhias itu berlangsung dari 8 malam hingga 11.30 malam, Khamis lalu disertai kira-kira 400 penonton.

Acara itu mencetuskan kontroversi selepas satu video menunjukkan beberapa peserta mengibarkan bendera China tular di media sosial.

Susulan video itu, Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria menggesa pihak berkuasa menyiasat insiden berkenaan kerana didakwa menyalahi Seksyen 3 Akta Lambang Kebangsaan (Kawalan Mempamer) 1949.

Tiong juga meminta supaya siasatan polis terhadap 17 warga China yang terlibat dalam perarakan berkenaan disiasat secara adil dan telus, selain turut menggesa agar insiden tersebut tidak dipanjangkan lagi.

“Marilah kita mencari cara yang paling harmoni dan mesra untuk menyelesaikannya dengan segera.

“Jika kita berterusan mengeruhkan keadaan, ia akhirnya akan menghalang pelancong daripada melawat Malaysia sehingga merugikan kita sendiri,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.