
Beliau menegaskan, kementeriannya sentiasa terbuka bekerjasama dengan mana-mana syarikat sebagai sebahagian aktiviti promosi, khususnya bagi kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
“Kita bukan kerjasama dengan Starbucks saja, minta semua Ahli Parlimen kalau boleh, datang bila-bila saya punya kementerian, saya boleh kemukakan senarai (kerjasama dijalankan).
“Hari-hari buat politik. Ini tidak buat keuntungan pada negara. Kita nak pelancong atau tak nak,” katanya semasa sesi penggulungan Rang Undang-undang Perbekalan 2026.
Dalam pada itu, Tiong berkata kementerian turut bekerjasama dengan pelbagai jenama lain.
Katanya, namun hanya kerjasama dengan Starbucks menjadi sasaran kritikan.
“Danish Butter Cookies pun ada kerjasama juga, tapi tak ada orang sentuh juga, ada perfume (minyak wangi) juga dari orang Islam punya halal punya, tapi orang tidak ungkit ini barang,” katanya sambil memegang produk berkenaan.
Pada 2 Okt, Starbucks Malaysia bersama Tourism Malaysia melancarkan kerjasama strategik sempena kempen TMM2026 bertemakan ‘Surreal Experiences’.
Namun, kerjasama itu mendapat kecaman beberapa pihak.
Mereka yang membantah keputusan kerajaan itu mengingatkan Tiong mengenai boikot berterusan terhadap Starbucks berikutan dakwaan hubungan jenama tersebut dengan Israel dalam konteks konflik Gaza.