Jaga bapa sakit, wanita maut tidur dalam kereta tak buka tingkap

Jaga bapa sakit, wanita maut tidur dalam kereta tak buka tingkap

Polis berkata mangsa dipercayai tertidur dalam kereta diparkir di Hospital Raja Permaisuri Bainun.

Ketua Polis Ipoh Yahaya Hassan, berkata penemuan mayat wanita dalam kereta diklasifikasikan mati mengejut. (Gambar JBPM)
IPOH:
Wanita ditemukan meninggal dunia dalam sebuah kereta berkunci di kawasan parkir berhadapan Klinik Pakar, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), semalam didapati tertidur ketika menjaga bapanya yang sakit.

Ketua Polis Ipoh Yahaya Hassan, berkata hasil siasatan pihaknya mendapati mangsa menjaga bapanya yang sakit di wad HRPB dan dipercayai masuk dalam kereta untuk berehat tanpa membuka cermin kereta.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu bedah siasat yang dijadualkan pada hari ini,” katanya dalam kenyataan.

Yahaya berkata, semalam pihaknya telah menerima maklumat daripada pengawal keselamatan yang memaklumkan telah nampak seorang perempuan tidak sedarkan diri dan disyaki meninggal dunia dalam sebuah kereta di parkir HRPB.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa ditemukan dalam keadaan terbaring di tempat duduk bahagian belakang kereta terbabit dan pihak bomba berjaya membuka pintu kereta mangsa menggunakan peralatan khas.

Semalam, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Bomba Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata mangsa berusia 20 tahun itu diberi rawatan awal oleh pegawai perubatan di lokasi kejadian dan disahkan meninggal dunia.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.