
Nabila Khairuddin berkata, Syarul Ema atau lebih dikenali Ratu Naga, dibawa ke ibu pejabat SPRM, Putrajaya, oleh pegawai agensi antirasuah itu selepas menyerbu kediamannya sekitar 9 pagi.
Azam menafikan aktivis pro-Perikatan Nasional itu ditangkap, apabila memaklumkan kepada Malaysiakini wanita tersebut dipanggil untuk “rakaman percakapan”.
Katanya, wanita itu dirakam kenyataan bagi membantu siasatan bawah Seksyen 16 Akta SPRM, di mana ia berkait penerimaan rasuah.
Dalam pada itu, Nabila berkata: “Kenyataan hari ini oleh ketua pesuruhjaya SPRM bahawa anak guam saya, Syarul Ema, hanya dipanggil untuk dirakam kenyataan dan tidak ditangkap adalah tidak benar.”
“Rumah diserbu pagi ini dan dia diambil dan dibawa dengan kereta SPRM ke Putrajaya. Dia dinafikan akses kepada peguam dan suaminya oleh pegawai penyiasat. Ini jelas satu tangkapan.”
“Tidak masuk akal ketua SPRM kata ini bukan tangkapan dan ia sama sekali bertentangan fakta sedia ada,” kata Nabila.
Nabila berkata, beliau masih menunggu di ibu pejabat SPRM untuk bertemu Syarul Ema, sambil menyatakan alasan kepada penahanannya tidak jelas.
Beliau juga mendakwa pegawai penyiasat mengendalikan kes berkenaan enggan memaklumkan apa jua maklumat berkait siasatan ke atas Syarul Ema.
FMT sedang mendapatkan komen SPRM.
Oktober lalu, polis menyiasat Syarul Ema susulan hantaran di media sosial yang dianggap memfitnah isteri perdana menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Bekas pemimpin wanita PKR itu sebelum ini disiasat kerana pembabitannya dalam himpunan Selamatkan Malaysia pada 16 Sept.