
Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata Perkara 150(8) Perlembagaan Persekutuan adalah bahagian intrinsik struktur asas undang-undang tertinggi negara.
“Di bawah peruntukan ini, mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar permohonan itu,” katanya ketika menyampaikan alasan penghakiman untuk menolak saman peguam Syed Iskandar Syed Jaafar.
Bagaimanapun, beliau tidak memerintahkan sebarang kos.
Peguam itu telah meminta Mahkamah Tinggi untuk menentukan sama ada keengganan Agong untuk menerima nasihat perdana menteri dan mengisytiharkan Darurat pada Oktober 2020 boleh dicabar di mahkamah.
Wan Farid berkata Perkara 40(1) perlembagaan memerlukan Yang di-Pertuan Agong bertindak atas nasihat Jemaah Menteri.
Beliau juga berkata mahkamah sentiasa menganggap perkara melibatkan keselamatan sebagai “luar biasa”.
“Jemaah Menteri, sebagai cabang eksekutif kerajaan, memiliki maklumat risikan mengenai perkara keselamatan di mana mahkamah tidak mempunyai akses (terhadapnya),” katanya.
Justeru, katanya, Jemaah Menteri berada dalam kedudukan terbaik untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai perkara sebegitu.
Bagaimanapun, Wan Faid berkata, penggunaan kuasa Agong untuk mengisytiharkan Darurat di bawah Perkara 150 perlembagaan adalah tidak wajar.
Beliau berkata walaupun penyingkiran bidang kuasa mahkamah mungkin kelihatan keras dan tidak adil, penyelesaian sebenar terletak pada badan perundangan.
Beliau berkata Perkara 150(8) perlembagaan tidak melanggar struktur asas perlembagaan dan tidak boleh digugurkan di bawah Perkara 4(1).
“Sebaliknya, sebarang percubaan mahkamah untuk campur tangan akan menyalahi doktrin pengasingan kuasa, yang merupakan sebahagian daripada struktur asas perlembagaan,” katanya.
Wan Farid juga menolak permohonan kerajaan untuk membatalkan saman itu, yang dibawa melalui saman pemula.
Mahkamah telah membenarkan 10 pihak lain campur tangan dalam prosiding itu.
Mereka ialah bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, bekas Ahli Parlimen Jerlun Mukhriz Mahathir, Amiruddin Hamzah (bekas Ahli Parlimen Kubang Pasu), Shahruddin Salleh (bekas Ahli Parlimen Sri Gading), bekas senator Marzuki Yahya, dan peguam Khairul Azam Abdul Aziz, Malcolm Fernandez dan Nazirah Abdul Ghani.
Kumpulan hak asasi manusia Center for A Better Tomorrow dan Persatuan Peguam-peguam Muslim juga dibenarkan campur tangan, manakala Majlis Peguam diberikan status amicus curiae (sahabat mahkamah).