3 premis di JB terima e-mel ancaman

3 premis di JB terima e-mel ancaman

Tiga premis kerajaan menerima e-mel mengandungi unsur ancaman bom, kata polis.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Raub Selamat, berkata e-mel ancaman itu dipercayai berpangkalan di luar negara. (Gambar Facebook)
JOHOR BAHRU:
Tiga premis kerajaan di kawasan Johor Bahru Selatan disahkan menerima e-mel mengandungi unsur ancaman bom daripada individu yang sama, hari ini.

Ketua Polis Johor Bahru Selatan, Raub Selamat, berkata e-mel yang diterima ketiga-tiga premis kerajaan itu dipercayai berpangkalan di luar negara.

Beliau berkata satu daripada tiga premis kerajaan yang menerima e-mel tersebut adalah Menara Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) di Bukit Senyum.

“Setakat ini di daerah Johor Bahru kami telah menerima tiga laporan polis daripada premis kerajaan yang mengatakan mereka menerima e-mel yang sama.

“Nampaknya pengirim e-mel tersebut tidak spesifik kepada satu-satu tempat sahaja, sebaliknya secara umum,” katanya kepada pemberita selepas mengetuai pemeriksaan keselamatan di Menara MBJB.

Terdahulu, Raub dilaporkan berkata pihaknya melakukan pemeriksaan di kesemua 22 tingkat Menara MBJB dan tidak mengesan sebarang objek mencurigakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.