Polis siasat ugutan jenayah terhadap Nik Elin

Polis siasat ugutan jenayah terhadap Nik Elin

Polis terima tiga laporan daripada Nik Elin Zurina.

Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan kenyataan berunsur ugutan di media sosial. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis sedang siasat ugutan jenayah terhadap peguam, Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, susulan petisyennya ke mahkamah berkait Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Allaudeen Abdul Majid berkata polis terima tiga laporan daripada Nik Elin.

Laporan disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan (KK) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

“Satu kertas siasatan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara untuk mendapatkan arahan lanjut dan dua lagi kertas siasatan masih dalam siasatan polis,” katanya dalam kenyataan.

Polis juga memohon bantuan daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia untuk mengenal pasti pemilik akaun media sosial yang terlibat.

Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan kenyataan berunsur ugutan di media sosial.

“Sekiranya ingkar, tindakan mengikut Seksyen 507 KK yang boleh dihukum dengan penjara selama tidak melebihi dua tahun… boleh diambil ke atas saspek yang terlibat,” katanya.

Seksyen 233 Komunikasi dan Multimedia pula memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun, atau kedua-duanya.

Mahkamah Persekutuan membuat keputusan memihak petisyen difailkan peguam Nik Elin untuk membatalkan 16 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan, dengan alasan ia bercanggah dengan Perlembagaan.

Sidang sembilan hakim, yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, mencapai kesimpulan dalam keputusan majoriti 8-1 bahawa Dewan Undangan Negeri tiada kuasa meluluskan 16 peruntukan dalam enakmen itu kerana kesalahan terbabit dirangkumi bawah undang-undang persekutuan.

Tengku Maimun ketika membacakan penghakiman berkata kes itu tiada kena-mengena dengan kedudukan Islam atau mahkamah syariah, kerana isu yang perlu diputuskan ialah sama ada badan perundangan Kelantan membuat peruntukan terbabit mengikut batasan ditentukan oleh Perlembagaan atau sebaliknya.

Sejurus keputusan diumumkan, pelbagai pihak memberi maklum balas antaranya Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan yang melabel keputusan itu sebagai “Black Friday” atau ‘peristiwa hitam’ buat umat Islam dan negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.