Kes peras RM35,000: 2 polis bahagian narkotik dilepas dengan jaminan

Kes peras RM35,000: 2 polis bahagian narkotik dilepas dengan jaminan

Reman kedua-dua anggota polis IPD Seri Alam berusia 29 dan 37 tahun itu tidak disambung sementara polis melengkapkan siasatan.

Ketua Polis Johor M Kumar berkata, 2 lagi anggota daripada IPD Seri Alam ditahan semalam sebelum direman 2 hari bagi membantu siasatan kes pemerasan tersebut.
PETALING JAYA:
Dua anggota polis yang ditahan pada Jumaat bagi membantu siasatan kes pemerasan membabitkan sejumlah RM35,000 dilepaskan dengan jaminan polis hari ini.

Reman kedua-dua anggota polis berusia 29 dan 37 tahun daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Seri Alam itu tidak disambung sementara polis melengkapkan siasatan, kata Ketua Polis Johor M Kumar.

“Kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya selepas siasatan dilengkapkan,” katanya, lapor Bernama.

Dua lagi anggota daripada IPD Seri Alam ditahan semalam sebelum direman dua hari bagi membantu siasatan kes pemerasan tersebut.

Dilaporkan pada Rabu lepas, seorang inspektor bersama tujuh anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Seri Alam telah direman berhubung kes pemerasan sama.

Mereka ditahan susulan laporan diterima polis pada 5 Feb.

Kumar hari ini berkata, kelapan-lapan mereka bagaimanapun telah dibebaskan pada Jumaat dengan jaminan polis.

Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.