
Ketua Polis Timur Laut Razlam Ab Hamid berkata, lelaki tempatan itu sedang dikesan setelah polis mendapati telefon bimbit lelaki berkenaan terhubung dengan kamera itu.
Katanya, setakat ini, polis telah merakam keterangan empat individu termasuk pengadu dan pengurus rumah inap desa terbabit bagi membantu siasatan.
“Berdasarkan siasatan dan keterangan yang direkod setakat ini, polis sedang mengesan seorang lelaki dan dia dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian kamera tersembunyi dalam bilik air tersebut.
“Pemeriksaan pihak polis mendapati pautan yang terdapat di kamera itu menghubungkan dengan telefon bimbit lelaki berkenaan dan sebab itu kita kesan dia untuk bantu siasatan kes,” katanya, lapor Bernama.
Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan kerana mengaibkan kehormatan seseorang.
Semalam, polis mengesahkan menerima laporan berhubung dakwaan seorang wanita yang menemukan kamera kecil tersembunyi ketika menginap di inap desa di terbabit Selasa lepas.
Menurut laporan tersebut, selepas mendaftar masuk bersama tiga rakannya pada 5 Feb, pengadu berusia 24 tahun itu menemukan kamera tersebut di dalam bekas pewangi tandas di bilik air.
Wanita itu memaklumkan perkara berkenaan kepada pengurusan inap desa kemudian membuat laporan polis.
Razlam dilaporkan berkata, hasil pemeriksaan awal mendapati tiada imej atau video yang terkandung dalam storan kamera itu.