Lelaki, tunang ditahan langgar anggota polis

Lelaki, tunang ditahan langgar anggota polis

Polis berkata, suspek lelaki mempunyai 17 rekod lampau bersabit kesalahan jenayah dan narkotik, manakala suspek wanita mempunyai dua rekod lampau.

Seorang anggota polis berpangkat lans koperal parah selepas dilanggar di Jalan Tanjung Rambutan-Chemor semalam. (Gambar PDRM)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki ditahan bersama tunangnya kerana dipercayai melanggar seorang anggota polis berpangkat lans koperal hingga parah di Jalan Tanjung Rambutan-Chemor semalam.

Ketua Polis Ipoh, Yahaya Hassan berkata pasangan tempatan berusia 33 dan 34 tahun itu ditahan kurang 24 jam selepas kejadian dan kereta digunakan mereka turut dirampas.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek lelaki yang mempunyai 17 rekod lampau bersabit kesalahan jenayah dan narkotik, didapati positif tetrahydrocannabinol (THC).

“Suspek wanita pula mempunyai dua rekod lampau kesalahan jenayah,” katanya menurut Sinar Harian.

Beliau berkata, pasangan itu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh esok untuk permohonan reman.

“Polis membuka kertas siasatan berkaitan kes mendatangkan cedera parah dengan niat membunuh ke atas anggota tersebut.”

Semalam, media melaporkan kejadian langgar lari pada 7.30 malam yang menyebabkan seorang anggota polis berusia 34 tahun patah tulang rusuk dan bahu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.