
Ini kerana kata Ketua Pegawai Eksekutif PBAPP, K Pathmanathan, pihaknya masih aktif mempertahankan simpanan air sedia ada menerusi Pelan Tindakan Empangan Air Itam (AIDAP) 2024.
Katanya, timbul spekulasi 30.3% kapasiti efektif di Empangan Air Itam bermakna 30 hari bekalan air di Air Itam.
“Anggaran ini mengelirukan kerana terdapat kelayakan penting (untuk tempoh masa berkenaan), iaitu ‘tanpa hujan’. Apabila ada hujan di Kawasan Tadahan Air Itam, bilangan hari akan berubah,” katanya menurut Berita Harian.
Beliau berkata, sebelum ini, purata pelepasan biasa ialah 44 juta liter sehari (JLH).
“Kawalan ketika cuaca kering ialah 22JLH, dengan PBAPP mengepam air dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua ke kawasan perkhidmatan Air Itam untuk menggantikan kekurangan 33JLH dalam pelepasan harian dari empangan itu.
“Melalui pelaksanaan AIDAP 2024, PBAPP mengurangkan purata pengeluaran air mentah hariannya dengan pelepasan 11JLH dari Empangan Air Itam sejak Februari lalu.”
Menurutnya, keputusan AIDAP 2024 dalam tempoh 70 hari lalu harus meyakinkan pengguna air di Air Itam bahawa kapasiti efektif empangan pada kadar 30.3% bukan sebab untuk panik.
Beliau mengulangi gesaan supaya penggunaan air dijimatkan sebanyak 10%, khasnya pada bulan ini hingga Jun bagi memastikan bekalan air mencukupi di Pulau Pinang.
“PBAPP turut mempunyai pilihan mengetatkan lagi kawalan bekalan air bagi mempertahankan baki simpanan empangan untuk jangka masa lebih lama.
“Bagaimanapun, pelaksanaan kawalan (lebih ketat itu) boleh menyebabkan beberapa kesulitan kepada sesetengah pengguna di kawasan perkhidmatan Air Itam.”
Pathmanathan berkata, perkhidmatan bekalan air masih normal di kawasan perkhidmatan Air Itam, walaupun pihaknya tidak tahu bila musim panas dan kering ketika ini akan berakhir.
“Menurut laporan cuaca antarabangsa, akan berlaku peralihan fenomena El Nino panas dan kering kepada fenomena La Nina basah dan hujan tidak lama lagi.
“Jabatan Meteorologi (METMalaysia) pula meramalkan taburan hujan lebih tinggi di Pulau Pinang pada April hingga Julai ini dengan ketibaan musim peralihan monsun.”
Ahad lalu, media melaporkan paras Empangan Air Itam hampir mencapai tahap kritikal ketiga dengan kapasiti efektif 30.8% dijangka dapat bertahan selama 30 hari.