Operasi pembenihan awan 3 hari di Kelantan mulai 21 Jun

Operasi pembenihan awan 3 hari di Kelantan mulai 21 Jun

Zahid Hamidi berkata proses itu bagi mengatasi penyusutan air Sungai Kelantan dan menangani impak fenomena cuaca panas serta Monsun Barat Daya.

Zahid Hamidi berkata Putrajaya meluluskan RM5 juta daripada Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara bagi menjayakan operasi pembenihan awan di Kelantan. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Kerajaan bersetuju melaksanakan operasi pembenihan awan (OPA) di Kelantan pada 21 hingga 23 Jun ini bagi mengatasi penyusutan air Sungai Kelantan dan menangani impak fenomena cuaca panas serta Monsun Barat Daya kata Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP) berkata operasi itu susulan permohonan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan ia akan dilakukan menerusi penyelarasan antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Jabatan Meteorologi dan Tentera Udara Diraja Malaysia.

Zahid berkata penggunaan dana Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) sebanyak RM5 juta diluluskannya bagi menjayakan OPA itu.

“Operasi selama tiga hari ini diharap akan meningkatkan paras air Sungai Kelantan untuk mengairi kawasan pertanian terjejas ketika ini.

“OPA tindakan awal yang dilakukan kerajaan persekutuan bagi mengatasi penyusutan air Sungai Kelantan dan menangani impak fenomena cuaca panas serta Monsun Barat Daya yang dijangka berterusan hingga hujung September 2024,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, taburan hujan rendah dicatatkan mulai Februari hingga April lalu menyumbang kepada penyusutan paras air Sungai Kelantan serta mengganggu operasi pam di semua kawasan KADA.

Bagi membolehkan Rumah Pam Kemubu beroperasi sepenuhnya, Sungai Kelantan perlu mencapai ketinggian 4.9m, tetapi KADA hanya merekodkan paras air Sungai Kelantan 2.19m pada minggu kedua April lalu.

“Usaha ini diharap dapat segera memberikan sumber air mencukupi di kawasan tadahan hujan sepanjang tempoh negara berdepan cuaca panas dan kering, khususnya di Kelantan.

“Saya juga berharap usaha bersepadu ini dapat membantu meningkatkan kapasiti air di kawasan tadahan hujan dan menjamin bekalan air dapat disalurkan kepada pengguna tanpa sebarang gangguan.”

Zahid menyarankan Nadma dan KPKM melaporkan perincian hasil itu pada 23 Jun ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.