
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) K Pathmanathan berkata, kapasiti efektif yang direkodkan di Empangan Air Itam pada Isnin berada pada paras 29.7% atau 641 juta liter (JL) berbanding kapasiti penuh, iaitu 2,159JL.
Empangan Teluk Bahang pula mencatatkan 26.4% atau 4,810JL berbanding kapasiti maksimum 18,240JL.
“Data Empangan Air Itam menunjukkan pengurangan dalam kapasiti efektif empangan telah ‘perlahan’ daripada purata 0.82% atau 17.61JL sehari Julai lepas kepada 0.51% atau 11.0JL sehari dalam 12 hari pertama Ogos.
“Kapasiti efektif Empangan Teluk Bahang pula ialah 18,240JL atau 8.45 kali ganda kapasiti efektif Empangan Air Itam,” kata PBAPP dalam kenyataan.
“Data menunjukkan pengurangan kapasiti berkesan empangan itu berubah daripada purata 0.31% atau 57.10JL sehari pada Julai 2024 kepada 0.27% (48.33 JL) sehari pada bulan ini.”
Pathmanathan menjelaskan hal berkenaan disebabkan taburan hujan di Kawasan Tadahan Air (KTA) di kedua-dua empangan itu merekodkan taburan hujan rendah dengan hanya 48mm di KTA Empangan Air Itam pada bulan lepas berbanding 36 mm dalam tempoh 12 hari pertama bulan ini, manakala KTA Empangan Teluk Bahang pula hanya 47 milimeter (mm) berbanding 84 mm dalam tempoh sama.
Beliau berkata hujan ketika ini tidak dapat meningkatkan kapasiti efektif empangan tetapi hanya membantu memperlahankan penurunan kapasiti efektif.
“PBAPP melepaskan purata 22.16JL sehari dari Empangan Air Itam untuk memenuhi permintaan air di sekitar Air Itam, Farlim dan kawasan berhampiran, manakala purata 68.06JL sehari dari EmpanganTeluk Bahang untuk memenuhi permintaan air di Teluk Bahang, Batu Ferringhi, Tanjung Bungah dan kawasan berhampiran,” katanya.
Sehubungan itu, beliau sekali lagi menyeru pengguna air di negeri ini menjimatkan penggunaan air bagi membantu mempertahankan rizab air mentah empangan terbabit sehingga musim hujan akan datang.
Mengenai pembenihan awan, Pathmanathan berkata, Agensi Pengurusan Bencana (Nadma) dalam surat bertarikh 9 Ogos lepas memaklumkan pihak mereka sedang menunggu nasihat dan analisis Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum operasi itu dijalankan.
Menurut Nadma, operasi pembenihan awan tertakluk kepada ketersediaan pesawat tentera udara.
Pada 11 Ogos lepas, Bernama melaporkan hujan sejak beberapa minggu lepas belum cukup untuk menambah stok simpanan semasa air mentah di dua empangan utama dengan kapasiti efektif di Empangan Air Itam menyusut 1.2% kepada 30.0%, manakala kapasiti efektif Empangan Teluk Bahang pula menurun 0.8%