
Setiausaha Agung Hamzah Zainudin berkata Bersatu juga sedia berdepan PRK jika berlaku pengosongan kerusi wakil rakyatnya yang diambil tindakan nanti.
“Selaras ketegasan itu, Majlis Pimpinan Tertinggi bersetuju meminda Perkara 10 Perlembagaan Bersatu menghalang insiden sama daripada berulang di masa hadapan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, keputusan itu dicapai melalui mesyuarat khas Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dipengerusikan Presiden Muhyiddin Yassin, semalam.
Sebelum ini, enam Ahli Parlimen Bersatu menyatakan sokongan kepada Anwar iaitu Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Syed Abu Hussin Hafiz (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Mereka menegaskan masih setia kepada parti sambil menyatakan tindakan itu bagi memastikan nasib dan pembangunan penduduk di Parlimen diwakili terus terbela.
Dalam pada itu, Hamzah berkata parti melantik Azmin Ali sebagai ketua Bersatu Selangor yang baharu menggantikan Abdul Rashid Asari.
Katanya, Mohamad Hanifah Abu Baker pula dilantik ketua Bersatu Negeri Sembilan menggantikan Ahmad Faizal Azumu.
Hamzah turut memaklumkan beberapa lantikan pengerusi biro baharu iaitu Ahli Parlimen Putrajaya Radzi Jidin (ekonomi), Ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah (antarabangsa), Ahli Parlimen Padang Serai Azman Nasrudin (pendidikan), Ahli Parlimen Tasek Gelugor Wan Saiful Wan Jan (latihan) dan Fadzillah Mohd Pilus dilantik sebagai pengerusi lembaga disiplin yang baharu.
“Bersatu juga melantik tiga ahli Majlis Pimpinan Tertinggi baharu iaitu Azman, Adun Taman Medan Afif Bahardin dan Penolong Setiausaha Wanita Bersatu Nolee Ashilin Mohammed Radzi,” katanya.