Ibu tunggal dalang ‘along’ mengaku tak salah bakar 2 kereta

Ibu tunggal dalang ‘along’ mengaku tak salah bakar 2 kereta

Tertuduh ditahan 6 Sept lalu kerana didakwa membaling bom petrol dan menampal notis ugutan di kediaman mangsa yang gagal membayar semula pinjaman.

Mahkamah Sesyen Kluang membenarkan tertuduh diikat jamin RM14,000 dan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran.
PETALING JAYA:
Seorang ibu tunggal yang juga dalang ‘along’ mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kluang atas pertuduhan khianat dengan membakar dua kereta awal bulan ini.

Harian Metro melaporkan Vun Lee Fon, 46, membuat pengakuan itu di depan Hakim Mujib Saroji.

Ibu kepada dua anak itu didakwa melakukan khianat membakar dua kereta milik wanita berusia 28 dan 45 tahun di Jalan Suria 4, Taman Matahari dan Taman Sri Permai antara 3 hingga 4 pagi pada 3 dan 5 Sept lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan denda serta Seksyen 436 akta sama membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ramizah Ramli menawarkan ikat jamin RM27,000 bagi dua pertuduhan itu bersama syarat tambahan.

Hakim membenarkan tertuduh yang tidak diwakili peguam diikat jamin RM14,000 dengan seorang penjamin, selain perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran dan tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan, termasuk mangsa sehingga kes selesai.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 15 Okt ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Tertuduh ditahan di Johor Bahru 6 Sept lalu kerana didakwa membaling bom petrol dan menampal notis ugutan di kediaman mangsa yang gagal membayar semula pinjaman mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.