
Ketua Polis Johor M Kumar Muthuvelu, berkata setakat kelmarin 12 laporan diterima kumpulan pelabur berkenaan yang mendakwa menjadi mangsa penipuan selepas terpedaya dengan iklan pelaburan itu di media sosial.
Katanya, semua mangsa yang juga warga tempatan berusia 41 hingga 71 tahun mendakwa kerugian antara RM177,000 hingga RM1.78 juta seorang.
Beliau berkata, mereka tidak dibenar mengeluarkan wang keuntungan dengan pelbagai alasan termasuk dikehendaki bayar dalam jumlah tertentu atau pelaburan “hangus”.
“Semua mangsa mendakwa telah melihat iklan berkaitan pelaburan mata wang kripto di laman sosial menawarkan keuntungan tinggi dalam tempoh singkat,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, mangsa percaya telah ditipu selepas curiga tidak dibenarkan mengeluarkan hasil keuntungan lalu membuat laporan polis.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.