
Pengarah Dr Rohana Johan berkata sebarang komplikasi rawatan yang menjejaskan keselamatan pesakit akan disiasat, melalui sistem pelaporan sebagaimana digariskan panduan pengurusan Kementerian Kesihatan.
Tegasnya dalam kenyataan, pihak hospital dengan kerjasama syarikat konsesi berkaitan “sentiasa memastikan peralatan perubatan yang digunakan untuk merawat pesakit dipantau dan diselenggara mengikut jadual agar perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dapat diberikan kepada pesakit.”
Semalam, FMT melaporkan dakwaan bahawa seorang pesakit meninggal dunia dan seorang lagi diisytihar mati otak dalam tempoh seminggu di wad berasingan, melibatkan sebuah hospital di Lembah Klang.
Insiden itu dikatakan berlaku kerana kegagalan ventilator, menurut dakwaan sumber.
Dalam kes pertama, sumber mendakwa, kakitangan perubatan cuba menyedarkan semula pesakit yang didapati tidak sedarkan diri, dan mendapati ventilator gagal.
Sumber mendakwa, seorang lagi pesakit diisytihar mati otak selepas tidak sedarkan diri sekurang-kurangnya 15 minit. Dalam kes ini ventilator didapati tidak berfungsi, menurut sumber.
Pesakit tersebut dibawa ke hospital akibat tercekik tulang ikan dan diberi anestesia am untuk pemeriksaan. Bagaimanapun, doktor tidak dapat mengesan tulang dan pasukan perubatan memutuskan pesakit diberi sedatif, untuk bertenang selama 48 jam, dakwa sumber itu.
“Pesakit kemudian didapati tidak sedarkan diri,” kata sumber sambil menambah keadaan pesakit tidak disedari sekurang-kurangnya 15 minit. Didapati ventilator tidak berfungsi.
Sumber mendakwa cubaan menyedarkan semula pesakit tersebut tidak berjaya, dan kemudian pesakit itu diisytihar mati otak.
Salah seorang sumber juga mendakwa ada dua lagi kes dikaitkan dengan dakwaan kegagalan ventilator.
Seorang pesakit dikatakan berjaya disedarkan semula selepas pasukan perubatan menjalankan resusitasi kardiopulmonari (cardiopulmonary resuscitation atau CPR). Keadaan seorang pesakit lagi belum disahkan.