
Dihoskan Worldchefs Association yang amat disanjung tinggi, penyertaan MPOC turut disertai dua syarikat tempatan, Nonosugar Health Tech Sdn Bhd dan Saha Asia Industries Sdn Bhd.
“MPOC juga akan mengadakan demonstrasi memasak dengan menampilkan produk berasaskan minyak sawit oleh cef selebriti Malaysia, selain menyediakan sokongan media mantap kepada pasukan kebangsaan yang bersaing dalam pertandingan dinanti-nantikan ini,” katanya dalam kenyataan.
Dijadualkan bersama INTERGASTRA, pameran perdagangan utama untuk perniagaan hospitaliti serta gastronomi, Olimpik Kulinari 2024 akan diadakan di Messe Stuttgart, Jerman.
Dengan 1,500 peserta pameran, INTERGASTRA merupakan perhimpunan terbesar di Jerman bagi industri itu yang menarik hampir 100,000 pengunjung perdagangan setiap dwitahunan.
Olimpik Kulinari sebelum ini melibatkan kira-kira 1,800 peserta, termasuk 110 pasukan dan lebih kurang 800 peserta pameran individu dari 67 negara.
Pasukan Malaysia merangkumi 16 cef berkemahiran yang diselia Persatuan Kulinari Profesional Malaysia.
Dengan memanfaatkan capaian global Worldchefs, inisiatif ini bertujuan memupuk persepsi positif terhadap minyak sawit mampan.
“Perkongsian dengan Worldchefs memberikan platform ideal bagi menonjolkan amalan lestari serta faedah minyak sawit Malaysia, menyumbang kepada pilihan pengguna termaklum di seluruh dunia,” kata MPOC.
Ketua Pejabat Eksekutif MPOC Belvinder Sron berkata majlis itu mahu menyokong pasukan kebangsaan, mempromosikan jenama minyak sawit Malaysia melalui liputan media dan menampilkan produk jenama melalui demo masakan.
“Kami gembira dapat bekerjasama dengan Worldchefs Association untuk menonjolkan kebaikan minyak sawit Malaysia.
“Penyertaan kami dalam Olimpik Kulinari 2024 menandakan komitmen kami terhadap kemampanan dan dedikasi dalam memupuk pilihan pengguna termaklum di peringkat global.”