
Johari beritahu Dewan Negara bahawa langkah itu bertujuan memacu pembangunan hab SAF negara serta meningkatkan keyakinan pelabur asing terhadap ekosistem tempatan, lapor Utusan Malaysia.
“Kerajaan memudahkan kelulusan lesen pembinaan loji, pengeluaran dan pengeksportan SAF untuk memudahkan pemain industri beroperasi di Malaysia.
“Langkah ini memberi isyarat sokongan penuh kepada pelabur yang ingin berkecimpung dalam sektor ini,” katanya bagi menjawab Senator Che Alias Hamid yang bertanya usaha kerajaan menarik pelabur asing selain insentif cukai.
Johari berkata kerajaan turut memanfaatkan kedudukan Malaysia sebagai pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia dengan akses kepada bahan mentah seperti minyak masak terpakai (UCO), minyak daripada efluen kilang sawit dan biojisim sawit lain.
Katanya, kerajaan juga turut meningkatkan kesedaran pengumpulan UCO dalam kalangan rakyat dan sedang mengkaji mekanisme untuk menjamin kelestarian bahan mentah bagi penghasilan SAF.
Minggu lalu, Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) mendedahkan bahawa pertumbuhan pengeluaran SAF global dijangka perlahan dan mencapai 2.4 juta tan tahun depan.
Pengeluaran SAF bagi 2025 dijangka mencecah 1.9 juta tan, iaitu dua kali ganda jumlah yang dihasilkan pada tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, angka itu merupakan semakan daripada unjuran awal IATA sekitar 2.1 juta tan, yang dikaitkan dengan sokongan dasar yang tidak mencukupi untuk memanfaatkan sepenuhnya kapasiti SAF yang telah dipasang.
Ketua pengarah IATA Willie Walsh berkata mandat SAF yang direka dengan buruk telah menyekat momentum, dan pembuat dasar kini perlu bekerjasama dengan industri penerbangan untuk merangka insentif yang berkesan.