Malaysia ulang komitmen kekal pembekal minyak sawit boleh dipercayai ke India

Malaysia ulang komitmen kekal pembekal minyak sawit boleh dipercayai ke India

Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari India Narendra Modi setuju kerjasama dalam pembangunan rantaian nilai minyak sawit, termasuk produk hiliran berasaskan sawit bernilai tinggi.

kelapa sawit
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan rakan sejawatnya dari India Narendra Modi menggalakkan kerjasama dipertingkatkan dalam penanaman kelapa sawit.
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengulangi komitmen Malaysia kekal pembekal minyak sawit mampan boleh dipercayai kepada India.

Justeru, Anwar dan rakan sejawatnya dari India, Narendra Modi, menggalakkan kerjasama dipertingkatkan dalam penanaman kelapa sawit.

Mereka turut bersetuju untuk kerjasama dalam pembangunan rantaian nilai minyak sawit, termasuk produk hiliran berasaskan sawit bernilai tinggi.

“Kedua-dua pihak juga bersetuju mengadakan libat urus berstruktur mengenai penyelesaian perkara melibatkan akses pasaran,” katanya dalam kenyataan bersama.

Sementara itu, kedua-dua pemimpin menekankan kepentingan Perjanjian Kerjasama Ekonomi Komprehensif Malaysia-India (MICECA) dan Perjanjian Perdagangan Barangan Asean-India (AITIGA).

Anwar dan Modi menyambut baik semakan berterusan terhadap AITIGA untuk menjadikannya saling menguntungkan, memudahkan perdagangan dan relevan dengan amalan perdagangan global semasa.

“Kedua-dua pemimpin juga menghargai MICECA atas potensinya memperkukuh hubungan ekonomi dan menggalakkan penggunaannya secara optimum.”

Dalam pada itu, Modi menekankan peranan India sebagai destinasi pelaburan utama bagi syarikat Malaysia, manakala Anwar mengalu-alukan kehadiran penting syarikat pembuatan dan teknologi India yang menyumbang kepada penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi di Malaysia.

“Kedua-dua pemimpin itu mengakui ketersambungan merupakan penentu utama dan pemboleh untuk kerjasama ekonomi dipertingkatkan. Sehubungan itu, mereka menghargai ketersambungan udara dan maritim semakin meningkat antara kedua-dua negara dan bersetuju memperkukuhnya lagi.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.