Guthrie dahului dunia, skor 97.5% dalam penilaian SPOTT

Guthrie dahului dunia, skor 97.5% dalam penilaian SPOTT

SD Guthrie Berhad raih kedudukan nombor satu dalam penilaian ketelusan minyak sawit tahunan.

Pencapaian Guthrie dalam SPOTT mencerminkan komitmen pada kebolehkesanan dan sumber bekalan yang bertanggungjawab, menurut kenyataan. (Gambar SD Guthrie)
PETALING JAYA:
SD Guthrie Berhad (Guthrie) menduduki tangga teratas dunia bagi ketelusan minyak sawit, dengan skor hampir sempurna 97.5% dalam penilaian SPOTT (Sustainable Palm Oil Transparency Toolkit), sebuah inisiatif tahunan Zoological Society of London.

Penilaian ini merangkumi lebih 100 indikator Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG), dan mercu tanda penting dalam perjalanan Guthrie ke arah kelestarian, mencerminkan komitmen berterusan pada ketelusan dan pengeluaran minyak sawit lestari.

Pencapaian ini juga lonjakan penting bagi gergasi perladangan Malaysia ini, yang pada 2024 berada di kedudukan ketiga dengan skor 94.8%.

Peningkatan skor mengiktiraf keterbukaan dan ketelusan Guthrie dalam amalan kelestariannya, melalui pendedahan umum dan pelaporan bagi menyokong sektor kewangan dan pihak berkepentingan rantaian bekalan untuk mengurus risiko ESG.

“Pencapaian Guthrie meraih kedudukan nombor satu dalam SPOTT mencerminkan komitmen kami terhadap kebolehkesanan (traceability) dan sumber bekalan yang bertanggungjawab — di mana kedua-duanya amat penting dalam memperkukuhkan kepercayaan pihak berkepentingan,” kata Ketua Pegawai Kelestarian Guthrie, Rashyid Redza Anwarudin.

“Kami berbesar hati kerana usaha berterusan kami untuk meningkatkan kebolehkesanan dan ketelusan pelaporan telah diiktiraf melalui pencapaian skor yang lebih tinggi kali ini,” menurut kenyataan.

Mengurus skala global

Guthrie dinilai bersama 100 syarikat pengeluar, pemproses, dan pedagang minyak sawit global lain. Fakta bahawa Guthrie mengendalikan simpanan tanah terbesar dalam kalangan 10 syarikat teratas, beroperasi di 12 negara, dan memenuhi permintaan pelanggan di lebih 80 negara, menjadikan pencapaian ini sangat mencabar.

Cabaran turut melibatkan lebih 46,000 pekebun kecil dalam rantaian bekalan Guthrie.

“Mencapai ketelusan dalam amalan kelestarian di seluruh organisasi kami bukanlah sesuatu yang mudah, memandangkan skala operasi global Guthrie,” kata Rashyid.

“Pengiktirafan ini mengukuhkan lagi tekad kami untuk terus meningkatkan lagi piawaian serta memacu perubahan positif dalam industri ini, melalui pelbagai lagi penglibatan dan kerjasama.”

Selain menerajui penilaian SPOTT, Guthrie merupakan syarikat minyak sawit pertama dunia dengan sasaran pengurangan pelepasan gas rumah hijau sifar bersih yang diluluskan oleh Science Based Targets initiative, sekaligus meningkatkan penanda aras sedia ada melalui rangka kerja kelestarian Beyond Zero.

Guthrie syarikat global terkemuka dan bertanggungjawab dalam sektor pengeluaran Minyak Sawit Disahkan Mampan.

Minyak sawit yang ia hasilkan bebas daripada penebangan hutan dan boleh dikesan sumber asalnya, menurut kenyataan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.