
Helmy berkata minyak sawit digunakan secara meluas dalam pelbagai produk harian dan ditemui dalam kira-kira separuh barangan di pasar raya, menjadikannya sangat bernilai kerana sifatnya yang serba guna.
“Disebabkan ia serba guna, mudah diakses dan boleh dihasilkan secara lestari oleh pekebun kecil atau syarikat besar.
“Ini bermaksud minyak sawit berpotensi menggantikan minyak makan lain,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada World Climate Summit 2025 di Belem, Brazil, Jumaat lalu.
Namun, pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia itu berkata minyak sawit sejak dahulu dipersalahkan secara tidak adil atas isu pembalakan dan kehilangan spesies, sehingga menenggelamkan kecekapan tanaman itu dan amalan pengeluaran yang bertanggungjawab.
Memetik data Our World in Data, Helmy berkata kelapa sawit adalah empat hingga 10 kali lebih produktif sehektar berbanding tanaman minyak makan lain.
“Kira-kira 336 juta hektar tanah digunakan untuk tanaman yang menghasilkan minyak makan. Daripada jumlah itu, kurang 10% atau lebih 28 juta hektar adalah kelapa sawit.
“Tetapi 10% ini menghasilkan lebih daripada satu pertiga, antara 33% hingga 40%, daripada semua minyak makan di dunia. Itu bersamaan kira-kira 75 hingga 80 juta tan metrik,” katanya.
Sebagai perbandingan, Helmy berkata soya, misalnya, meliputi lebih 100 juta hektar tetapi menghasilkan kurang daripada 60 juta tan minyak.
Beliau turut menarik perhatian kepada penggunaan tanah dalam sektor pertanian secara keseluruhan, di mana ternakan mengambil kira-kira 80% daripada jumlah tanah pertanian iaitu 4.8 bilion hektar, manakala kelapa sawit hanya 0.6%.
“Adakah hutan pernah ditebang untuk tanaman sawit? Ya, sudah tentu. Adakah kebanyakan penebangan hutan berpunca daripada sawit? Tidak sama sekali,” katanya.
Dengan permintaan global terhadap minyak makan dan bahan makanan berprotein dijangka meningkat lebih 40% dalam dua dekad akan datang, Helmy berkata inovasi adalah kunci utama.
Beliau berkata SD Guthrie mengutamakan sains dan berjaya menghasilkan inovasi seperti GenomeSelect®, bahan tanaman berkeupayaan tinggi yang boleh mengeluarkan sehingga 20% lebih banyak minyak dan berbuah lebih cepat berbanding varieti terdahulu.
Benih itu, yang dikomersialkan pada 2023, membolehkan pekebun meningkatkan hasil pada tanah sedia ada tanpa perlu membuka kawasan baharu.
“Kelapa sawit hari ini sangat efisien, anda boleh tanam semula di tanah yang digunakan untuk tanaman minyak lain, hasilkan lebih banyak minyak, dan pada masa sama memulihkan sebahagian tanah kepada hutan,” katanya.
Helmy berkata SD Guthrie pada masa depan komited memperuntukkan 100,000 hektar untuk pemuliharaan dan pemulihan menjelang 2030 serta membangunkan rangka kerja pertanian regeneratif bersama rakan kerjasama.
“Walaupun kami mengurangkan pegangan tanah, kami menjangka untuk meningkatkan hasil. Itulah komitmen kami terhadap kelestarian, penggunaan tanah yang bertanggungjawab dan generasi masa depan,” katanya.
“Semua ini boleh dicapai kerana tanaman yang kami usahakan ialah pokok kelapa sawit.”