Hakim Mahkamah Sesyen kompeten, pendakwa bantah Sanusi mohon pindah kes hasutan

Hakim Mahkamah Sesyen kompeten, pendakwa bantah Sanusi mohon pindah kes hasutan

Masri Mohd Daud berkata kes itu juga tidak libat persoalan undang-undang sukar atau kompleks seperti didakwa.

Hakim Mahkamah Tinggi Aslam Zainuddin menetapkan 1 Feb bagi mendengar permohonan Sanusi Nor memindah dua pertuduhan dihadapinya ke Mahkamah Tinggi.
SHAH ALAM:
Pihak pendakwaan kes Sanusi Nor membantah permohonan menteri besar Kedah itu memindahkan kes hasutan dihadapinya ke Mahkamah Tinggi memandangkan kes telah ditetapkan perbicaraan di Mahkamah Sesyen Selayang.

Timbalan Pendakwa Raya Masri Mohd Daud, berkata kes itu juga tidak melibatkan persoalan undang-undang yang sukar atau kompleks seperti didakwa pihak pemohon.

“Hakim Mahkamah Sesyen adalah kompeten dan berwibawa untuk mengendalikan perbicaraan jenayah bagi kes-kes yang berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Sesyen, seperti mana kes yang dituduhkan terhadap pemohon di bawah Akta 15 (Akta Hasutan 1948).

“Oleh demikian, ia bukanlah dalam kepentingan keadilan untuk kes ini dipindahkan ke Mahkamah Tinggi, lebih-lebih lagi kes telah ditetapkan untuk perbicaraan di Mahkamah Sesyen,” katanya.

Masri berkata demikian dalam afidavit jawapan membantah permohonan dikemukan Sanusi bagi memindahkan dua pertuduhan menghasut berhubung isu pelantikan menteri besar Selangor dan penubuhan kerajaan perpaduan dalam satu ceramah politik ke Mahkamah Tinggi.

Sebelum ini, Hakim Mahkamah Sesyen Selayang Nor Rajiah Mat Zin menetapkan tarikh perbicaraan pada 5, 8, 9, 13, 15, 16,19, 22, dan 23 Feb serta 11, 15 dan 18 Mac.

Sementara itu, dalam prosiding pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Aslam Zainuddin, mahkamah menetapkan 1 Feb bagi mendengar permohonan Adun Jeneri itu bagi memindah dua pertuduhan dihadapinya ke Mahkamah Tinggi.

Aslam juga memerintahkan Sanusi membalas afidavit dikemukan pendakwaan pada atau sebelum 29 Jan ini.

Terdahulu, peguam Hasshahari Johari Mawi yang mewakili Sanusi memohon mahkamah agar diberi masa 14 hari bagi menjawab afidavit yang dikemukakan pendakwaan.

“Kami telah menerima afidavit jawapan daripada pihak pendakwaan menerusi emel semalam. Justeru itu, kami mohon mahkamah memberi masa 14 hari untuk kami membalas afidavit tersebut,” katanya.

Bagaimanapun, Masri membantah permohonan itu dan menyatakan masa yang ada mencukupi untuk menjawab afidavit tersebut selain, tiada sebab untuk melengah-lengahkan lagi prosiding itu.

Sanusi didakwa menyebut perkataan menghasut di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak pada 11 malam, 11 Julai tahun lalu.

Dua pertuduhan yang dikenakan ke atasnya adalah mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama iaitu denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.