Semangat kebersamaan, kerjasama antara parti kekuatan kerajaan, kata Anwar

Semangat kebersamaan, kerjasama antara parti kekuatan kerajaan, kata Anwar

Perdana menteri berkata sejarah menunjukkan kebangkitan dan kejatuhan sesebuah negara, tamadun dan masyarakat sebahagian besarnya berdasarkan kekuatan nilai, keyakinan serta komitmen kolektif terhadap pembinaan negara.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim bersalaman dengan hadirin pada Majlis Sentuhan Kasih Madani Bersama Diaspora Malaysia di Ankara, Turki pada Selasa. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menegaskan kekuatan kerajaan perpaduan terletak pada semangat kebersamaan dan kerjasama antara parti tanpa sebarang sikap mendabik dada, yang bergerak seiring bagi melaksanakan agenda pembangunan negara demi kesejahteraan rakyat.

“Perlu laksanakan program dengan lebih baik dan tingkatkan usaha lebih bersungguh-sungguh seperti membantu anak-anak dalam aspek teknologi baharu seperti kecerdasan buatan (AI) serta bidang baharu menerusi teras akidah dan akhlak baik.

“Bayangkan setahun atau dua tahun lagi, Malaysia akan berubah wajahnya,” katanya menurut Bernama ketika berucap pada Majlis Sentuhan Kasih Madani Bersama Diaspora Malaysia di Ankara pada Selasa, yang dihadiri kira-kira 200 rakyat Malaysia, termasuk golongan profesional dan pelajar menetap di ibu negara Turki itu.

Turut hadir isterinya Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Luar Mohamad Hasan, Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Johari Ghani serta Duta Besar Malaysia ke Turki Sazali Mustafa Kamal.

Terdahulu, Anwar yang juga menteri kewangan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Esenboga di Ankara pada 7.13 malam waktu tempatan (12.13 tengah malam Rabu waktu Malaysia).

Beliau berada di Turki bagi lawatan rasmi tiga hari hingga 8 Jan ini atas jemputan Presiden Recep Tayyip Erdogan.

Anwar berkata, sejarah menunjukkan kebangkitan dan kejatuhan sesebuah negara, tamadun dan masyarakat sebahagian besarnya berdasarkan kekuatan nilai, keyakinan serta komitmen kolektif terhadap pembinaan negara.

“Negara bangkit dan jatuh. Bangsa bangkit dan jatuh. Tamadun bangkit dan jatuh, ia bangkit terutamanya kerana komitmen, keyakinan, idealisme dan semangat untuk membina sebuah negara dan memastikan kejayaan.”

Menurutnya, kemerosotan sesebuah negara lazimnya bermula apabila rasuah dibiarkan berakar umbi dan kemiskinan diabaikan, sekali gus menghakis nilai moral dan perpaduan sosial.

Merujuk ajaran Islam, beliau berkata, manusia diberikan pilihan jelas, iaitu berusaha mencapai kecemerlangan atau membiarkan keruntuhan moral berlaku.

“Komitmen kita mesti berpaksikan pilihan tersebut, dan pilihan itu ialah untuk menjadi baik, yang terbaik untuk diri kita, keluarga serta masyarakat.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.