Jurnal sejarah kajian penyelidik UPM sudah disemak pakar

Jurnal sejarah kajian penyelidik UPM sudah disemak pakar

UPM berkata kajian 'The Jongs and The Galleys: Traditional Ships of The Past Malay Maritime Civilization' mempunyai polisi 'blind peer reviewed, refereed journal'.

UPM mencadangkan dakwaan dibuat sejarawan Perancis Serge Jardin dibincang dalam ruang lingkup akademik.
PETALING JAYA:
Universiti Putra Malaysia (UPM) menjelaskan pakar telah menyemak artikel kajian ‘The Jongs and The Galleys: Traditional Ships of The Past Malay Maritime Civilization’ yang disenaraikan dalam pangkalan data Excellence In Research For Australia (ERA).

UPM menjelaskan ini kerana ia mempunyai polisi ‘blind peer reviewed, refereed journal’ yang bermaksud semakan telah dibuat oleh pakar dalam bidang yang tiada kaitan dengan penyelidik bagi mengelakkan konflik kepentingan untuk mengesahkan dapatan kajian.

“UPM memandang serius dakwaan yang ditujukan kepada universiti. Oleh kerana penyelidikan ini adalah bersifat akademik, UPM berpandangan adalah wajar isu ini dibincangkan dalam ruang akademik.

“Juga harus dipertimbangkan bahawa bidang sains sosial dan kemanusiaan adalah terbuka kepada interpretasi untuk pelbagai tafsiran,” katanya dalam kenyataan.

UPM menegaskan pihaknya komited memelihara martabat pendidikan tinggi serta meneruskan integriti dalam aktiviti penyelidikan ilmiah dan penerbitan akademik.

Kenyataan itu menyusul selepas seorang sejarawan Perancis mendakwa dua ahli akademik dari UPM menampilkan fakta salah berkait sejarah pelayaran Melayu dan mempersoalkan kredibiliti tempat jurnal akademik itu diterbitkan.

Dalam satu catatan di Facebook, Serge Jardin menamakan Rozita Che Rodi dan Hashim Musa – kedua-duanya ahli akademik dari UPM – sebagai penulis kajian berjudul ‘The Jongs and The Galleys: Traditional Ships of The Past Malay Maritime Civilization’ yang diterbitkan dalam International Journal of Academic Research in Business and Social Sciences, Jilid 13 Isu 11 2023.

Jardin mendakwa imej yang digunakan dalam kertas kajian itu untuk menunjukkan model Jong Melayu (sejenis kapal layar berasal dari Jawa, Indonesia yang digunakan secara meluas oleh pelaut Jawa, Sunda, dan kemudian oleh pelaut Pegu dan Melayu) sebenarnya adalah Kapal Kargo Foochow Pole (sejenis kapal kargo) dari China.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.