Itu kuasa Agong, Abang Jo ulas pelantikan TYT Sarawak baharu

Itu kuasa Agong, Abang Jo ulas pelantikan TYT Sarawak baharu

Premier Sarawak berkata menjadi hak mutlak Yang di-Pertuan Agong melantik Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Premier Sarawak Abang Johari Openg juga enggan mengesahkan sama ada Wan Junaidi Tuanku Jaafar akan meletak jawatan sebagai Speaker Dewan Negara. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Premier Sarawak Abang Johari Openg enggan mengulas ‘khabar angin’ Wan Junaidi Tuanku Jaafar akan dilantik Yang di-Pertua Negeri Sarawak baharu.

Beliau sebaliknya menjelaskan kuasa melantik Yang di-Pertua Negeri merupakan bidang kuasa Agong.

“Saya tidak mahu komen, ia adalah kuasa mutlak Agong (melantik),” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri program di Kuching.

Diminta mengesahkan sama ada Wan Junaidi telah meletak sebagai Speaker Dewan Negara, Abang Johari meminta untuk bertanya sendiri dengan bekas Ahli Parlimen Santubong itu.

Sebelum ini, media melaporkan Wan Junaidi telah meletak jawatan sebagai Speaker Dewan Negara dan sedang bersiap sedia untuk dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

Sumber di Parlimen memberitahu, Wan Junaidi telah menyerahkan surat peletakan jawatannya dan bakal menggantikan Taib Mahmud sebagai Yang di-Pertua Negeri Sarawak kelapan.

Sementara itu, seorang pembantu Wan Junaidi, berkata bekas menteri undang-undang itu mungkin mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.