Bimbang MA63 mansuh; Abang Jo tuntut 1/3 Parlimen kepada Sabah, Sarawak

Bimbang MA63 mansuh; Abang Jo tuntut 1/3 Parlimen kepada Sabah, Sarawak

Semenanjung mempunyai 165 kerusi Parlimen sambil premier Sarawak suarakan kebimbangan Parlimen boleh pinda Perlembagaan mansuh perjanjian itu.

Premier Sarawak Abang Johari Openg, berkata Semenanjung ketika ini mempunyai lebih dua pertiga kerusi Parlimen, selepas Singapura dikeluarkan dari Malaysia. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Premier Abang Johari Openg menyeru dikembalikan satu pertiga kerusi Parlimen kepada Sarawak dan Sabah bagi menjamin ‘perlindungan’ ke atas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, pengembalian 35% kerusi Parlimen itu penting bagi mengelak berlaku pindaan Perlembagaan Persekutuan, memandangkan kerusi Parlimen ketika ini melebihi dua pertiga ada di Semenanjung.

Abang Johari berkata, ketika pembentukan Malaysia, gabungan kerusi Parlimen dari Singapura, Sarawak, dan Sabah adalah melebihi satu pertiga.

Namun, apabila Singapura berpisah daripada Malaysia, beliau berkata, kerusi Parlimennya telah diambil Semenanjung, tanpa diagihkan kepada Sarawak dan Sabah.

“Antara kebimbangan Sarawak dan Sabah ialah Parlimen mungkin akan meminda Perlembagaan Persekutuan untuk memansuhkan Perjanjian Malaysia 1963.

“Justeru, dengan adanya satu pertiga daripada jumlah kerusi itu, kita dapat memastikan MA63 kekal terpelihara,” katanya menurut Berita Harian pada majlis bersama masyarakat Kapit, Sarawak, yang turut dihadiri Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ketika ini, Semenanjung mempunyai 165 kerusi Parlimen, manakala di Malaysia Timur, Sarawak diperuntuk 31, Sabah (25), dan Labuan (1). Dua pertiga merujuk 148 sokongan bagi meluluskan pindaan ke atas Perlembagaan.

Abang Johari ketika mengulas lanjut, berkata pemimpin pengasas dari Sarawak dan Sabah memiliki kebijaksanaan serta berpandangan jauh dalam usaha memastikan kepentingan dan hak mereka dalam Malaysia adalah terpelihara serta dilindungi.

“Kami hendak ‘safeguard’ itu dikembalikan kepada kami selaras dengan Laporan Suruhanjaya Cobbold, bukan kami tidak mahukannya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.