Rundingan Petronas-Petros: Abang Jo yakin perkara rumit mampu selesai

Rundingan Petronas-Petros: Abang Jo yakin perkara rumit mampu selesai

Premier Sarawak berkata ia perlu diselesaikan dengan semangat menang-menang dan pembahagian kekayaan dibuat saksama.

Premier Sarawak Abang Johari Openg, berkata negeri itu menyumbang 10% KDNK menerusi pendapatan hasil minyak dan gas.
PETALING JAYA:
Premier Sarawak Abang Johari Openg menyuarakan keyakinan Sarawak dan kerajaan persekutuan mampu menyelesaikan pertikaian ke atas sumber minyak dan gas negeri.

Sambil menyatakan ia perkara rumit, Petronas dan kerajaan negeri mampu menyelesaikannya secara menang-menang.

“Walaupun perkara ini rumit untuk dipersetujui secara terperinci, saya yakin Petronas dan kerajaan Sarawak melalui Petros mampu menyelesaikannya dengan semangat menang-menang dan pembahagian kekayaan yang saksama antara kerajaan Sarawak dan kerajaan persekutuan,” katanya dalam perutusan sempena Aidilfitri.

Petros, firma cari gali minyak dan gas milik Sarawak, baru-baru ini telah diiktiraf sebagai agregator tunggal gas di negeri itu.

Pada Februari, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri bersetuju Petronas dan anak syarikat mengekalkan semua obligasi kontrak sedia ada, domestik, dan antarabangsa.

Anwar memberitahu Dewan Rakyat, kedua-dua pihak juga mengiktiraf Akta Pembangunan Petroleum 1974 sebagai undang-undang persekutuan. Aktivis Sarawak berpegang bahawa negeri mempunyai hak ke atas minyak dan gasnya melalui undang-undang era kolonial, mendahului akta tersebut.

Awal bulan ini, FMT melaporkan rundingan Petronas-Petros buntu selepas Petros menekankan ingin menjadi “orang tengah” dalam kontrak sedia ada Petronas.

Abang Johari berkata, Sarawak menyumbang 10% kadar keluaran dalam negara kasar (KDNK) menerusi pendapatan diperoleh daripada hasil minyak dan gas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.