
Premier Sarawak, Abang Johari Openg, berkata beliau meyakini isu tersebut sudah boleh dianggap selesai sementara menunggu pengumuman itu.
Katanya, perkara itu sebenarnya tidak ada masalah, hanya dari sudut perundangan yang mana Petronas bergantung kepada Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA).
“Manakala kita (Sarawak) bergantung kepada Ordinan Perlombongan Minyak (OMO) 1958 dan ini sudah diputuskan bahawa PDA dengan OMO ini boleh wujud bersama (coexist).
“Namun, ramai yang membuatkan perkara ini sebagai suatu isu yang besar di mana ada yang kata Petronas akan hilang (keuntungan) RM100 bilion. Ya, mungkin memang akan kurang sedikit disebabkan oleh pengagihan gas tersebut.
“Saya rasa perkara ini boleh diselesaikan. Bahkan, sekarang sudah nampak ada penyelesaiannya, tetapi saya tidak boleh dedahkan dahulu ketika ini, biarlah perdana menteri akan memberitahu formula penyelesaian kepada kita. Ia sudah selesai,” katanya menurut TV Sarawak.
Beliau berkata demikian dalam sesi rakaman program ‘Temu Bual Khas Pasca-Belanjawan Sarawak 2025’.
Abang Johari berkata, syarikat minyak dan gas milik kerajaan Sarawak akan meneruskan kerjasama dengan Petronas dalam industri gas di wilayah berkenaan.
Katanya, ini kerana Petros dan Petronas menguasai sebahagian besar sektor simpanan gas di Sarawak.
Menurutnya, ia juga bermakna hasil penerokaan sumber asli itu di Sarawak akan dikongsi bersama dan isu berbangkit sebelum ini hanya membabitkan aspek perundangan.
Sepanjang tahun lalu, Sarawak mendesak Petronas menandatangani perjanjian yang akan menjadikan Petros agregator gas tunggal di negeri itu.
Bulan lalu, Abang Johari menolak dakwaan negerinya tamak dengan berkata ia hanya menggunakan ‘hak perlembagaan’ untuk mengagihkan gas milik negeri itu.
Sebelum ini, beliau dilaporkan berkata, Sarawak sedia berdepan mana-mana pihak ‘tidak menghormati haknya’ di mahkamah.