Tanggung peningkatan harga gula mentah dunia, MSM beroperasi dalam rugi

Tanggung peningkatan harga gula mentah dunia, MSM beroperasi dalam rugi

MSM Malaysia mendakwa mengalami kerugian sebanyak 88 sen bagi setiap 1kg gula yang dikeluarkan susulan peningkatan harga gula mentah.

MSM Malaysia Holdings Bhd mendakwa kini beroperasi dalam kerugian kerana perlu menanggung peningkatan harga gula mentah dunia. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
MSM Malaysia Holdings Bhd menggesa kerajaan segera menaikkan harga siling gula kepada RM3.85 sekilogram berbanding RM2.85 ketika ini, dengan mendakwa kadar terbabit tidak lagi kompetitif.

Ketua Pegawai Operasinya Hasni Ahmad berkata pihaknya mengalami kerugian sebanyak 88 sen bagi setiap 1kg gula yang dikeluarkan, susulan peningkatan harga gula mentah dunia yang kini pada kadar USD21.7 setiap tan.

“Kita tidak lagi boleh beroperasi dalam kerugian, ketika ini kita menjual gula peket 1kg pada harga rugi,” katanya selepas lawatan media ke MSM Sugar Refinery (Johor) di Pasir Gudang.

Syarikat pengeluar gula utama negara itu beroperasi dalam kerugian sejak dua tahun lalu dengan terbaharu, rugi sebanyak RM36 juta bagi suku ketiga 2023.

Hasni Ahmad.

Hasni berkata pihak industri sudah pun mengadakan siri libat urus bersama kerajaan berhubung isu harga gula, namun sehingga kini masih menantikan keputusan.

Menurutnya, langkah itu juga perlu sebagai usaha meningkatkan jaminan keselamatan makanan negara selain membantu pemain industri gula pulih daripada terus berdepan kerugian.

Mengulas kenyataan Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli yang mahu industri tebu dibangunkan secara agresif, Hasni berkata negara sememangnya memerlukan ladang tebu sendiri bagi mengurangkan kebergantungan kepada import gula mentah dari Brazil selepas penutupan ladang tebu Chuping, Perlis pada 2012.

Ketika ini, Malaysia mengimport sepenuhnya gula mentah dari Brazil selepas negara pengeluar gula utama dunia, Thailand dan India membekukan eksport gula masing-masing.

“Kita tak boleh selamanya bergantung kepada negara import seperti Brazil, Thailand dan India. Macam sekarang Thailand dan India membekukan eksport gula mereka jadi kita hanya import dari Brazil ketika ini.

“Apa jadi kalau Brazil pun beku eksport dia? Sebab itu kita perlu teliti dari segi jaminan keselamatan makanan.”

Sebelum ini, industri penapisan gula berkata mereka dalam perbincangan dengan kerajaan mengapungkan harga siling runcit gula, yang menyaksikan kenaikan bersih hanya 1 sen sejak 2013.

Harga siling ketika ini ditetapkan pada RM2.85 sekilogram bagi gula kasar, manakala gula halus pada RM2.95 sekilogram.

MSM dan Central Sugars Refinery (CSR) Sdn Bhd terlibat secara besar-besaran dalam perniagaan penapisan gula tempatan, dengan MSM menguasai 60% pasaran manakala CSR 40%.

Kapasiti pengeluaran tahunan MSM mencecah 2.05 juta tan gula bertapis pada masa ini dengan 60% bagi memenuhi pasaran domestik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.