
Sebaliknya, beliau berkata, mereka akan diberi tempoh mencukupi dan cadangan melanjutkan tempoh pajakan tanah kilang MSM Prai selama 10 tahun lagi akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri.
Katanya, ia susulan rancangan pembangunan semula lokasi kilang itu di Kampung Manis, dengan penduduk setinggan di sana akan diberikan perumahan percuma disebabkan persekitaran kediaman mereka agak usang.
“Tidak timbul soal kilang itu akan ditutup serta-merta. Sekurang-kurangnya akan mengambil masa 10 tahun untuk dipindahkan, jadi saya rasa agak munasabah kilang itu diberikan masa, tetapi mereka juga kena bekerjasama dengan kita.
“Kalau mereka tak nak pindah selama-lamanya, maka kawasan itu tidak boleh dibangunkan. Kita faham akan ada cabaran operasi, jadi saya tak minta mereka pindah serta-merta bulan depan.”
Katanya menurut Bernama selepas perasmian Pusat Dialisis Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Cawangan Seberang Jaya dan Penyampaian Tajaan Lindung Kendiri di Perkeso Pulau Pinang di Seberang Jaya.
Loke berkata, pajakan tanah kilang yang beroperasi sejak 1964 itu tamat 30 Nov 2024 dan kerajaan memberi tempoh kepada pihak pengurusan merancang pemindahan ke lokasi lain kerana pembangunan semula kawasan itu akan dilakukan secara berfasa.
Menurutnya, rancangan pembangunan semula Kampung Manis juga selari visi kerajaan dan harapan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim untuk menyediakan perumahan lebih baik kepada semua lapisan masyarakat.
“Jadi, kita mempunyai perancangan untuk membangunkan semula Kampung Manis itu dengan kerjasama pihak swasta dan proses RFP (permintaan untuk cadangan) oleh pemaju swasta telah dimulakan bagi tujuan berkenaan.”
Pada 17 Sept lalu, Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Ahmad Shabery Cheek dilaporkan berkata, pihaknya akan berunding dengan kerajaan Pulau Pinang dan RAC bagi mempertimbangkan lanjutan tempoh pajakan tanah kilang penapisan gula terbesar negara itu.
MSM bertanggungjawab membekalkan 24,000 tan gula setiap bulan dan mengekalkan stok penimbal negara sebanyak 32,000 tan gula kasar serta halus bagi memastikan bekalan konsisten di pasaran tempatan.