Belum ada keputusan henti insentif gula RM42 juta, kata Fuziah

Belum ada keputusan henti insentif gula RM42 juta, kata Fuziah

Pemberian insentif kewangan kepada pengilang gula tempatan adalah langkah sementara dibuat kerajaan sejak November 2023.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Fuziah Salleh berkata kajian mengenai insentif gula sudah dilaksanakan dan beberapa cadangan dikemukakan. (Gambar Envato Elements)
PUTRAJAYA:
Belum ada keputusan untuk menghentikan insentif gula dan kerajaan sedang meneliti mekanisme terbaik bagi menyemak semula pemberian itu yang kini menelan belanja RM42 juta sebulan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh, berkata kajian mengenai perkara itu sudah dilaksanakan dan beberapa cadangan dikemukakan, namun kerajaan belum memuktamadkan sebarang keputusan.

“Kerajaan sedang mengkaji bagaimana kita boleh menyelamatkan (mengurangkan atau menstruktur semula) RM42 juta sebulan ini,” katanya dalam temu bual FMT.

Justeru, beliau menegaskan tiada keputusan baharu mengenai insentif gula setakat ini dan kerajaan masih menimbang semua pilihan yang ada sebelum dimuktamadkan.

Pemberian insentif kewangan berjumlah RM42 juta kepada pengilang gula tempatan adalah langkah sementara dibuat kerajaan sejak November 2023.

Ia bertujuan memastikan bekalan barangan keperluan disalurkan secara berterusan sementara mekanisme terbaik akan dimuktamadkan berhubung harga dan pengeluaran gula.

Harga runcit gula di Malaysia ketika ini RM2.85 sekilogram bukan sahaja antara yang terendah di Asean malah peringkat global.

Sementara itu, Fuziah berkata ketika ini MSM Malaysia Holdings Berhad mengeluarkan 24,000 metrik tan gula standard sebulan bagi kegunaan domestik dan insentif diterima RM24 juta.

Katanya, Central Sugars Refinery (CSR) pula mengeluarkan 18,000 metrik tan sebulan dan menerima insentif RM18 juta.

“Jumlah insentif ialah RM1 untuk 1kg gula standard dikeluarkan oleh MSM dan CSR sahaja. Gula standard ialah gula yang dibungkus 1kg,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.