
Beliau berkata, projek itu kini dalam fasa pemasangan tiub di beberapa lokasi dikenal pasti oleh UMS yang mempunyai bekalan air.
“UMS memerlukan kira-kira lima ke lapan juta liter bekalan air sehari. Keperluan untuk dapatkan telaga tiub ini sebagai tambahan bagi membantu sebanyak 30% (daripada jumlah keseluruhan keperluan air di UMS).
“Nak kata (masalah air dapat) selesai (secara) keseluruhan, ia perlu (campur tangan) kerajaan Sabah,” katanya di Serkam Pantai di sini, hari ini.
Media sebelum ini melaporkan enam telaga tiub dibina bagi mengatasi masalah bekalan air di UMS dengan peruntukan RM3 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada Mei 2023.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Mustapha Sakmud dilaporkan berkata, projek pembinaan empat telaga tiub sedang dilaksanakan dua kontraktor yang kini dalam fasa penggerudian.
Zambry berkata, pengurusan universiti perlu peka dengan sebarang masalah yang berlaku di institusi pendidikan mereka kerana ia melibatkan kebajikan pelajar.
“Saya tahu mereka (UMS) menghadapi masalah besar dan berpanjangan sejak 2021. Seharusnya universiti menjadikan ia keutamaan (untuk menyelesaikan masalah air tersebut). Alasan tak ada peruntukan, mereka boleh maklumkan kepada kerajaan untuk selesaikan.
“Saya elak untuk letak tuduhan, menyalahkan (pengurusan universiti). Saya nak kita bekerja untuk selesaikan masalah.”