
Harian Metro melaporkan Yeoh Ee Tat, 56; Mohd Haiqal Mohd Sebrie, 33, dan Teh Wei Li, 52, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di depan Hakim Rohatul Akmar Abdullah.
Mengikut kertas pertuduhan, Yeoh yang juga pemilik syarikat kenderaan import didakwa menggunakan surat akuan palsu bertarikh 26 Ogos 2018 dengan memasukkan Teong Teck Leong sebagai pemastautin Langkawi bagi membeli Bentley Bentayga.
Tertuduh juga didakwa menggunakan Borang Kastam Perisytiharan Barang-barang Yang Diimport pada 1 Dis 2021 menyebabkan Jabatan Kastam mengenakan bayaran duti RM422,461.27 ke atas kenderaan mewah yang mahu dibawa keluar dari Langkawi.
Haiqal yang menjadi “runner” syarikat kenderaan import pula didakwa menggunakan Borang Kastam Perisytiharan Barang-barang Yang Diimport bagi urusan penilaian Ferrari 458 Speciale milik Soh Weng Thiam dan McLaren 650S milik Loke Yoon Mink.
Disebabkan pengisytiharan pemilik sebagai pemastautin Langkawi, kastam mengenakan bayaran duti RM299,614.20 dan RM357,393.55 ke atas kereta Ferrari serta McLaren untuk dibawa keluar dari Langkawi pada 2021.
Teh yang juga “runner” syarikat kenderaan import didakwa menggunakan Borang Kastam Perisytiharan Barang-barang Yang Diimport bagi urusan penilaian Porsche 911 GT2 RS milik Mubarak Hussain Akhtar Husin.
Berikutan pengisytiharan pemilik sebagai pemastautin Langkawi, kastam mengenakan bayaran duti RM598,442 ke atas kenderaan mewah itu untuk dibawa keluar dari Langkawi pada 2021.
Ketiga-tiganya didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun dan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Hakim mengenakan denda RM10,000 bagi setiap tertuduh dan sembilan bulan penjara, jika gagal membayar denda itu.
Semua tertuduh kemudian membayar denda berkenaan.