AFC nafi rancangan ambil alih pentadbiran FAM

AFC nafi rancangan ambil alih pentadbiran FAM

Pemangku Presiden FAM, Yusoff Mahadi juga berkata beliau tiada sebarang maklumat mengenai perkara itu.

Asian Football Confederation general-secretary Windsor John AFP pic 22126
Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Windsor John berkata laporan dakwa AFC bakal tubuh jawatankuasa interim untuk urus pentadbiran Persatuan Bola Sepak Malaysia adalah tidak benar. (Gambar AFP)
PETALING JAYA:
Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menafikan laporan bahawa ia bakal tubuh satu badan interim untuk mengurus Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) susulan laporan keseluruhan kepimpinan tertinggi FAM akan letak jawatan pada 28 Jan ini.

“Tidak benar,” kata Setiausaha Agung AFC, Windsor John, kepada FMT.

Awal bulan ini, Pemangku Presiden FAM, Yusoff Mahadi, berkata jawatankuasa eksekutif rela lepas jawatan beramai-ramai demi memastikan badan induk bola sepak negara itu tidak digantung Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).

Apabila ditanya hari ini sama ada AFC akan campur tangan untuk menguruskan hal ehwal FAM selepas 28 Jan seperti yang dilaporkan Utusan Malaysia, Yusoff berkata beliau tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai perkara itu.

“Jawatankuasa eksekutif FAM akan bermesyuarat pada 28 Jan untuk memuktamadkan keputusan sama ada kami perlu meletakkan jawatan,” kata Yusoff kepada FMT.

“Jika kami memutuskan untuk berundur, saya fikir AFC mungkin akan terlibat (dalam pentadbiran FAM). Saya tidak pasti sama ada kami akan menghubungi mereka untuk menubuhkan jawatankuasa interim, atau mereka yang akan menghubungi kami untuk berbuat demikian.

“Kami akan tahu apa yang perlu dilakukan selepas 28 Jan. Kami mahukan yang terbaik untuk FAM dan bola sepak Malaysia.”

FAM dan tujuh pemain warisan Malaysia dikenakan hukuman oleh Fifa pada September lalu kerana didakwa mengemukakan dokumen palsu bagi mengesahkan kelayakan pemain berkenaan sebelum perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada Jun.

FAM didenda 350,000 franc Switzerland (kira-kira RM1.8 juta), manakala setiap pemain didenda 2,000 franc Switzerland (kira-kira RM10,560) dan digantung selama 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak, berkuat kuasa dari tarikh pemberitahuan.

Fifa mengumumkan pada 3 Nov bahawa ia menolak rayuan FAM terhadap hukuman tersebut, sekali gus mendorong persatuan itu mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Sebuah jawatankuasa bebas yang menyiasat kes itu berkata ia tidak dapat menentukan individu yang memalsukan dokumen berkenaan, dengan polis kemudiannya membuka siasatan mereka sendiri.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Rusdi Isa, berkata dua individu yang dipercayai terlibat telah dikenal pasti, dengan jabatan itu sedang berusaha mengesahkan identiti dan mengesan keberadaan mereka.

Sementara itu, Yusoff berkata beliau hanya tahu mengenai perkembangan siasatan polis itu menerusi laporan berita.

“Mereka (polis) tidak memaklumkan kepada kami mengenai perkembangan siasatan, tetapi ini bermakna siasatan mereka sedang berjalan.”

Yusoff menambah bahawa FAM menjangkakan menerima maklum balas daripada CAS berhubung rayuannya sebelum perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 antara Harimau Malaya menentang Vietnam pada 31 Mac ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.