‘Putus hubungan’ punca pelajar perempuan dilarikan, kata polis

‘Putus hubungan’ punca pelajar perempuan dilarikan, kata polis

Ketua Polis Gombak Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata pelajar Tingkatan 5 itu ditarik secara paksa ke dalam kereta sebelum dibawa ke sebuah inap desa.

Polis berkata pelajar perempuan itu dibebaskan kira-kira 12 tengah hari Jumaat lalu dan tidak dicederakan sepanjang dilarikan serta dikurung.
PETALING JAYA:
Enggan meneruskan hubungan dikenal pasti motif seorang pelajar perempuan berusia 17 tahun dilarikan dua lelaki di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan Kepong, Jumaat lalu.

Ketua Polis Gombak, Noor Ariffin Mohamad Nasir, berkata pelajar Tingkatan 5 itu ditarik secara paksa ke dalam kereta sebelum dibawa ke sebuah inap desa.

Katanya, mangsa dibebaskan kira-kira 12 tengah hari pada hari sama dan tidak dicederakan sepanjang dilarikan dan dikurung.

“Hasil siasatan, polis menahan dua lelaki dan seorang wanita berusia antara 19 hingga 20 tahun kira-kira 11.30 malam hari kejadian.

“Mangsa mengenali seorang daripada suspek yang juga bekas teman lelakinya. Suspek tidak puas hati kerana mangsa memutuskan perhubungan,” katanya dalam kenyataan, menurut Berita Harian.

Terdahulu, media melaporkan tiga individu direman kerana disyaki terbabit dalam kejadian itu.

Semua suspek direman empat hari bermula semalam hingga 9 Jan untuk siasatan mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan iaitu kesalahan melarikan orang.

Suspek ditahan selepas polis menerima aduan daripada ibu mangsa berusia 42 tahun pada 10.36 pagi Jumaat lalu.

Polis turut merampas sebuah kereta jenis Toyota dan motosikal Yamaha Y15ZR dipercayai ada kaitan dengan kes itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.