Dasar subsidi bersasar bukan tarik subsidi sepenuhnya, kata menteri

Dasar subsidi bersasar bukan tarik subsidi sepenuhnya, kata menteri

Sebaliknya, menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup itu berkata, ia membabitkan reformasi pemberian subsidi dan bantuan sosial kepada rakyat.

Armizan Mohd Ali berkata, dasar subsidi bersasar akan dilaksanakan bersama jaminan bantuan sosial, termasuk bantuan tunai subsidi bersasar. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pelaksanaan dasar subsidi bersasar bukan bermakna subsidi akan ditarik sepenuhnya, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Armizan Mohd Ali.

Sebaliknya, beliau berkata, ia membabitkan reformasi pemberian subsidi dan bantuan sosial kepada rakyat.

“Teras kepada pelaksanaan dasar subsidi bersasar dan reformasi bantuan sosial adalah Sistem Pangkalan Data Utama (Padu).

“Oleh itu, saya menggesa semua rakyat membuat pendaftaran sistem Padu yang akan dilancarkan perdana menteri pada 2 Jan ini, sekali gus membuat verifikasi maklumat profil individu dan isi rumah.

“Kerajaan akan memberi tempoh tiga bulan sehingga 31 Mac 2024 untuk memberi ruang seluasnya kepada rakyat,” katanya menurut Harian Metro selepas menghadiri Hari Keluarga Besar Samat di Kota Kinabalu.

Armizan berkata kerjasama semua pihak amat diperlukan, termasuk agensi persekutuan, kerajaan negeri hingga ke peringkat daerah dan kampung.

Beliau berkata, kementeriannya sentiasa komited membantu kerajaan melaksanakan agenda subsidi bersasar, di mana dasar itu akan dilakukan bersama jaminan bantuan sosial, termasuk bantuan tunai subsidi bersasar.

Katanya, bentuk dan jumlah bantuan sosial membabitkan aspek pendapatan serta jumlah komitmen tanggungan.

“Hal ini penting untuk menangani isu berbangkit mengenai kos sara hidup.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.