RON95 dijual RM2.05 untuk kenderaan komersial layak

RON95 dijual RM2.05 untuk kenderaan komersial layak

Kadar diperluaskan kepada 9 jenis pengangkutan awam dan 12 jenis logistik, kata menteri kewangan II.

Petrol 95
Kad fleet akan digunakan untuk salur subsidi bersasar kepada kenderaan komersial yang layak, termasuk 12 segmen di bawah sektor logistik.
SHAH ALAM:
Minyak petrol RON95 akan dijual pada kadar bersubsidi RM2.05 seliter untuk kenderaan komersial yang layak, kata Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan.

Kadar ini 6 sen lebih tinggi berbanding RM1.99 seliter untuk orang awam, tetapi masih lebih rendah berbanding harga tanpa subsidi.

Amir berkata, kadar ini akan diperluaskan kepada sembilan segmen pengangkutan awam dan 12 segmen di bawah sektor logistik.

Kategori kenderaan tersebut terdiri daripada:

  • Pengangkutan awam – Teksi; kereta sewa; bas sekolah; van jenazah; ambulans; jentera bomba; bas perantara; bas mini; dan bas henti-henti.
  • Logistik – Van panel, van tingkap, van separa panel, lori dan van katering makanan; van perkhidmatan bergerak; lori kotak; lori sejuk beku; dan lori yang menyediakan perkhidmatan bergerak serta membawa kargo am, hasil pertanian dan haiwan.

Tambahnya, kad fleet akan digunakan untuk menyalurkan subsidi bersasar ini kepada kenderaan komersial yang layak.

Harga petrol RON95 akan diturunkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter untuk orang awam berkuat kuasa 30 Sept, di bawah program Budi Madani RON95.

Warganegara berusia 16 tahun dan ke atas yang mempunyai lesen memandu aktif layak menikmati kadar bersubsidi itu, dengan pengesahan dibuat menerusi MyKad, mekanisme sama digunakan untuk pengagihan bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

Setiap rakyat Malaysia layak menerima 300 liter petrol RON95 bersubsidi sebulan, namun perkhidmatan e-panggilan dikecualikan daripada had ini.

Di bawah sistem baharu ini, bukan warganegara dan individu yang tidak layak perlu membayar pada kadar pasaran tanpa subsidi.

Amir berkata, kerajaan akan mengadakan ujian rintis bagi mekanisme itu pada Sabtu, bermula dengan anggota polis dan tentera.

Ia akan diikuti oleh penerima bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) pada 28 Sept, dan kemudiannya semua orang awam pada 30 Sept.

Langkah ini bertujuan mengurangkan kesesakan di stesen minyak, kata Amir yang turut memohon agar orang ramai bersabar sepanjang inisiatif ini dilaksanakan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.