Kerajaan sedia pertimbang kuota tambahan RON95 untuk petani, penjaja

Kerajaan sedia pertimbang kuota tambahan RON95 untuk petani, penjaja

Menteri kewangan II berkata, jika petani atau penjaja perlu kuota tambahan, mesti ada mekanisme pengesahan sebelum kelulusan diberi.

sawah padi
Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan sifatkan kuota 300 liter sebulan mencukupi bagi keperluan harian, termasuk penggunaan genset atau mesin kecil oleh petani atau penjaja.
KUALA LUMPUR:
Kerajaan sedia mempertimbangkan permohonan kuota tambahan subsidi petrol di bawah inisiatif Budi Madani RON95 (BUDI95) bagi golongan petani dan penjaja sekiranya terdapat bukti penggunaan mereka melebihi had ditetapkan.

Menteri Kewangan II Amir Hamzah Azizan berkata ketika ini, setiap pengguna individu menikmati kuota 300 liter sebulan dan jumlah itu disifatkan mencukupi bagi keperluan harian termasuk penggunaan penjana elektrik (genset) atau mesin kecil.

“Dalam semua perubahan atau apa-apa yang kami buat, akan ada cabaran dan pengecualian kepada peraturan itu,” katanya.

“Jadi, apa yang kami dah nampak ialah kami dah kira untuk e-hailing sebagai contoh, kami benarkan mereka memohon kuota atau kelayakan yang lebih tinggi, asalkan kami dapat sokongan daripada syarikat e-hailing yang mengatakan mereka itu pekerja sepenuh masa.

“Kami dapat data daripada syarikat secara berperingkat untuk membolehkan kami buat semakan. Oleh itu, kalau ada keadaan melibatkan penjaja atau petani, kerajaan boleh meneliti permohonan mereka tetapi kami perlukan mekanisme pengesahan sebelum kelulusan diberi.”

Beliau berkata demikian pada sesi taklimat media mengenai penyasaran subsidi RON95 hari ini sebagai menjawab pertanyaan sama ada kerajaan bersedia mempertimbangkan kuota khas BUDI95 kepada golongan seperti pemandu e-panggilan kerana ramai petani dan pesawah menggunakan bahan api itu bagi kerja-kerja di lapangan.

Amir Hamzah berkata, kerajaan mempunyai rekod penggunaan mengikut nombor kad pengenalan (IC) bagi setiap transaksi, sekali gus membolehkan semakan dilakukan dari semasa ke semasa.

Katanya, sekiranya terdapat penyalahgunaan, kuota tambahan yang diberikan boleh ditarik balik dan pengguna akan kembali kepada kuota asas 300 liter sebulan.

Semalam, beberapa pihak menyuarakan pendapat inisiatif yang diperkenalkan kerajaan itu mungkin tidak menyentuh realiti hidup pesawah kerana hanya berasaskan logik pemilik kenderaan dengan julat penyasaran liter subsidi di pam minyak.

Ini termasuk tidak mengambil kira realiti penggunaan petrol dalam kerja sawah dan pertanian seperti kegunaan pam air, mesin rumput, mesin tabur benih, pam baja dan pam racun yang menjadi nadi kelangsungan kerja pesawah pada setiap musim.

Mengulas mengenai mekanisme BUDI95 yang sangat berbeza daripada sistem Pangkalan Data Utama (Padu) yang diperkenalkan kerajaan untuk penyasaran subsidi sebelum ini, Amir Hamzah berkata, Padu digunakan secara meluas untuk tujuan analisis data, termasuk dalam menetapkan dasar serta kajian sensitiviti oleh kementerian dan agensi kerajaan.

“Padu kaya dengan data dan kini digunakan banyak agensi serta kementerian untuk analitik. Permintaan untuk guna data Padu semakin meningkat dan ia membantu kerajaan dalam membuat analisis senario serta menetapkan titik potong tertentu,” katanya.

Namun, bagi pelaksanaan BUDI95, beliau menegaskan sistem itu tidak memerlukan sepenuhnya data kompleks Padu kerana kriteria kelayakan lebih ringkas, iaitu warganegara dan pemegang lesen memandu yang sah.

“Budi Madani tidak perlukan kompleksiti Padu kerana kriterianya terhad tetapi pada masa sama, Padu kekal penting kerana lebih banyak data yang disahkan, lebih rendah kemungkinan berlaku ralat dalam dasar kerajaan,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan, rakyat Malaysia akan menikmati harga petrol RON95 pada kadar RM1.99 berbanding RM2.05 seliter, bermula 30 Sept ini melalui BUDI95, tanpa mengambil kira tahap pendapatan.

Bagi bukan warganegara pula, harga RON95 adalah pada RM2.60 bermula tarikh sama.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.