
Mohamad Adib Mohd Zafri, 35, Mohamad Amirul Aiman Mamat, 26, dan Muhamad Hafiz Irsyad Mohd Nawi, 30, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di depan Majistret Aina Azahra Arifin.
Mereka didakwa dengan niat bersama mencuri wang milik NGWE Gabar Sdn Bhd di tingkat satu premis berkenaan, di Jalan Lebuh Pudu, Off Jalan Silang, pada 2.27 petang 21 Dis lalu dan dituduh mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah seksyen sama serta dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh didenda, manakala bagi kesalahan kali kedua perlu dipenjara dan boleh didenda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Izzat Amir Idham berkata, pihaknya tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu dilakukan penjawat awam semasa menjalankan amanah dan tugas sebagai anggota.
“Perkara ini juga mendatangkan kegusaran kepada masyarakat awam berkaitan integriti serta tanggungjawab anggota keselamatan semasa menjalankan tugas.”
Izzat Amir berkata, jika mahkamah ingin menawarkan jaminan, pihaknya memohon jaminan tidak kurang RM30,000 dengan dua penjamin warga tempatan bagi setiap tertuduh serta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dan melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap bulan.
Peguam Adi Zulkarnain Zulkafli yang mewakili Adib dan Hafiz memohon anak guamnya diberikan jaminan rendah kerana mereka berpendapatan RM2,100 sebulan serta menanggung keluarga.
Peguam Khairunnisa Azzahrah Ghazalie yang mewakili Amirul Aiman turut memohon jaminan rendah kerana anak guamnya perlu menanggung ibu bapa lanjut usia dengan pendapatan RM2,100 sebulan.
Aina Azahra menetapkan sebutan kes 6 Feb depan dan membenarkan jaminan RM17,000 dengan dua penjamin warga tempatan bagi setiap tertuduh serta syarat tambahan dimohon pihak pendakwaan.
Pada 24 Dis lalu, ketiga-tiga anggota itu dirakam melakukan penggeledahan di premis terbabit oleh kamera litar tertutup (CCTV), tetapi tidak memasukkannya dalam laporan.
Hasil penahanan itu, difahamkan polis turut merampas wang tunai RM63,500, sebuah Perodua Myvi, dua telefon bimbit dan resit pembayaran bagi pembelian tayar dan penyelenggaraan kenderaan.