
Kali pertama begitu meruntun perasaannya apabila dia mendapat tahu mahkamah mendapati adiknya, Pannir Selvam Pranthaman bersalah dan menjatuhkan hukuman mati pada tahun 2017 kerana mengedar 51.84g heroin.
“Saya pegang erat tangan adik saya. Saya beritahu dia, apa pun, kami akan cuba yang terbaik,” katanya.
Kali kedua, keadaannya agak berbeza dan dia berasa lega dan gembira apabila Mahkamah Rayuan Singapura pada 23 Mei 2019 menangguhkan pelaksanaan hukuman mati, iaitu sehari sebelum hukuman berkenaan sepatutnya dijalankan.
Bernama berkesempatan bertemu dengan Sangkari dan adiknya Angelia di kediaman mereka di Kuala Lumpur baru-baru ini. Angelia mendakap album foto, dipenuhi dengan gambar yang menyimpan pelbagai kenangan sejak zaman kanak-kanak mereka.
Jelas mereka tidak dapat menahan rasa sedih mengenangkan Pannir Selvam, 36, akhirnya akan menjalani hukuman kerana sejak pandemik Covid-19 berakhir, Singapura mula meningkatkan pelaksanaan hukuman mati bagi pesalah dadah. Singapura menangguhkan pelaksanaan hukuman mati untuk tempoh dua tahun akibat pandemik Covid-19 tetapi menyambung semula tindakan berkenaan pada Mac 2022. Pada tahun lepas, seramai 11 orang, semuanya pesalah dadah menjalani hukuman mati.
Perayaan Krismas tahun ini mungkin yang terakhir buat Pannir kerana hampir tiada lagi langkah perundangan yang boleh diusahakan dan kemungkinan hukuman matinya akan dijalankan pada tahun baharu 2024. Menyedari kemungkinan ini, Sangkari, yang senang dipanggil Shan, dan Angelia tidak dapat menahan rasa pilu, air mata mula bergenang. Banyak kisah dikongsikan dengan Bernama tentang Pannir, zaman ketika mereka kecil serta igauan ngeri yang sedang mereka alami dan masih menghantui kehidupan mereka.
“Malahan selepas surat tentang hukuman mati itu dikeluarkan (pada tahun 2019), ketika lawatan seminggu itu, kami tidak dapat memeluk atau menyentuh abang … atau bawa makanan yang kami masak,” kata Angelia, menambah kari daging kambing adalah kegemaran abangnya.
Untuk keluarga seperti keluarga dua beradik ini, nasib yang menimpa Pannir menjadikan keluarga mereka lebih rapat, dan menghargai dua ketika dapat melihat Pannir, yang hayatnya mungkin berakhir tidak lama lagi.
Menurut Shan dan Angelia, nasib Pannir kini seakan di awang-awangan. Dia sudah merayu dan permohonan untuk mendapat pengampunan ditolak pada tahun 2019. Harapannya kini hanyalah litigasi sivil secara berterusan.
“Tidak ada hasil positif atau negatif. Nampak macam neutral, sukar untuk diramal sama ada kami akan menang atau kalah,” kata Shan.
Mereka menjangka dapat mengetahui nasib Pannir Selvam pada Februari 2024, apabila Mahkamah Rayuan mengadakan perbicaraan untuk mendengar tuntutan mahkamah yang dikemukakan oleh Pannir Selvam dan 12 lagi banduan hukuman mati yang mencabar Perkhidmatan Penjara Singapura kerana melepaskan surat peribadi kepada Jabatan Peguam Negara tanpa kelulusan banduan.