Siapa momok siapa sebenarnya?

Siapa momok siapa sebenarnya?

Melayu Singapura setidak-tidaknya majoriti mereka untuk sekian lama tidak minat dengan retorik 'identity politics'.

Mohsin Abdullah

PAS naik angin — menempelak kenyataan K Shanmugam, si menteri penyelaras bagi keselamatan Singapura. Dituduhnya Shanmugam cuba kaitkan PAS dengan isu politik dalaman Singapura.

Maka berkatalah Takiyuddin Hassan, si setiausaha agung PAS bahawa Singapura perlu menangani masalah domestik tanpa menjadikan pihak luar sebagai kambing hitam.

Bukan setakat itu, PAS menolak sekeras kerasnya percubaan mana-mana pihak untuk menjadikan parti itu “bogeyman politik demi kepentingan partisan di Singapura”.

Banyak lagi rintihan Takiyuddin yang tidak perlu saya ulangi di sini, cuma ingin merumuskan Takiyuddin menuduh Singapura menjadikan PAS momok untuk memomok rakyat Singapura.

Momok-memomok bukan perkara baru. Mungkin istilah tepatnya strategi. Oleh itu saya kata bukan strategi baru khususnya dalam permainan politik. But in this instance saya tidak setuju dengan tuduhan yang dilempar Takiyuddin.

Pertama perlu dinyatakan ucapan Shanmugam di Parlimen Singapura tiga hari lalu bertujuan mengingatkan ahli politik negaranya menjauhi politik perkauman dan agama.

Kata beliau, dari semasa ke semasa beberapa parti dan calon pilihan raya cuba ‘mengacau’ (istilah yang beliau guna: stir up) masyarakat Cina dan Melayu tetapi usaha itu gagal kerana PAP “is a dominant political force“. Bagi saya, tidak dapat dinafikan PAP memang dominan di Singapura.

Namun the situation is a dynamic one, kata Shanmugam. It is not permanent. Oleh itu, kata beliau, jika generasi masa depan pemimpin melihat “identity politics gaining traction” mereka akan didesak, ditekan atau tergoda untuk terlibat dengan politik sedemikian.

You know what will happen then. It is a one-way street to ruin. And then Singapore will suffer,” kata beliau. Bagi saya peringatan itu atau mungkin juga boleh dianggap amaran boleh diguna pakai di Malaysia.

Sebenarnya identity politics atau politik perkauman dan keagamaan juga tidak harus diberi tempat di negara kita kerana ia akan atau boleh membawa kepada kehancuran. Ertinya ia bukan masalah eksklusif untuk Singapura sahaja. Malangnya di Malaysia, sentimen perkauman dan agama sedang rancak diapi-apikan oleh sang politikus yang cari jalan pintas untuk rebut kuasa.

Kedua, memang benar Shanmugam ada bercakap mengenai PAS khususnya merujuk beberapa “insiden membimbangkan” semasa PRU Singapura Mei lalu. Malah Shanmugam menamakan pemimpin PAS yang “mencampuri urusan” politik Singapura dengan menggesa pengundi Melayu-Islam republik itu mengundi calon Melayu yang mewakili Parti Pekerja yang menentang PAP.

Saya berpandangan PAS terutama Takiyuddin tidak boleh marah kerana apa yang dinyatakan Shanmugam adalah benar. It is a fact Bendahari Agung PAS Iskandar Abdul Samad dan Ketua Pemuda PAS Selangor Mohamed Sukri Omar membuat kenyataan terbuka menyokong calon Parti Pekerja, antaranya Faisal Manap.

Menurut laporan Berita Harian Singapura, dua pemimpin PAS berkenaan didapati mengeluarkan hantaran di Facebook yang menyiarkan komen terhadap politik Singapura.

Di samping itu, kata akhbar itu, penerbitan PAS yakni Harakahdaily menyiarkan artikel pada 22 dan 23 April lalu menukil komen Iskandar mengenai keadaan masyarakat Melayu di Singapura dan GE2025. Artikel bertajuk ‘PRU Singapura calon Melayu semakin menonjol’ dan ‘Jangan ulangi senario Melayu ‘disingkir’ dari bandar’. Sounds familiar right?

Menurut artikel kedua itu, Iskandar mengetengahkan kekhuatiran berhubung langkah mengambil khidmat perundingan daripada Lembaga Perumahan dan Pembangunan atau HDB bagi menjayakan pembaharuan semula bandar republik itu. Iskandar mendakwa pemilikan perumahan Singapura adalah agenda migrasi warga asing sekaligus menyingkirkan Melayu bandar yang miskin apabila hartanah dijual pada harga bebas dan di luar kemampuan Melayu.

Ingin saya tegaskan hartanah di Singapura sudah tersedia amat mahal menyebabkan ramai rakyat Singapura tidak mampu memilikinya. Rakyat Singapura ertinya pelbagai bangsa. Bukan orang Melayu saja yang tak mampu. Manakala dakwaan mengenai penyingkiran orang Melayu dari bandar, macam mana nak singkir sedangkan sudah sedia duduk dalam bandar? Pelik. Bukankah Singapura is already one big city?

Apa pun menerusi artikel yang saya sebut tadi, Iskandar berkata “apabila kita lihat perkembangan di Singapura dalam pembaharuan semula bandar kesannya amat buruk sekali bagi orang Melayu.”

Tuduhan ‘Melayu disingkir dari bandar’ memang kegemaran PAS. Tuduhan sama dilaungkan apabila PAS dan sekutu membantah RUU Pembaharuan Semula Bandar atau URA. Itu juga digunakan dalam isu Kampung Sungai Baru, atas alasan mempertahan Melayu bandar dan membela Melayu miskin.

Dalam pada itu, Sukri ada juga buat hantaran Facebook mengaitkan DAP dengan PAP dan berkata “moga umat Islam tidak tertipu dengan DAP, mengulangi kesilapan di Singapura”.

Pada pendapat saya apa yang dikata dua pemimpin PAS itu untuk home consumption, yakni untuk pembaca di Malaysia — at least Sukri is honest in admitting this. Sasaran PAS ialah rakyat Malaysia khusus orang Melayu. Mustahil mereka tidak tahu apa yang dijual tidak laku di Singapura. Melayu Singapura setidak-tidaknya majoriti mereka untuk sekian lama tidak minat dengan retorik identity politics.

Oleh itu PAS yang jadikan Singapura kambing hitam untuk memomok orang Melayu Malaysia. PAS guna Singapura. Bukan Singapura yang momok rakyatnya guna PAS, dan PAS cuba berselindung dengan menyerang Shanmugam.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.