
Membidas Chegubard kerana tidak memahami proses perolehan dan peruntukan, Nik Nazmi berkata fitnah mendakwa ada individu sebagai proksinya memperoleh komisen dalam projek didakwa bernilai RM16.6 bilion itu sebagai berniat jahat.
“Saya menafikan sekeras-kerasnya fitnah jahat ini dan akan mengambil tindakan undang-undang sivil terhadap beliau dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan.
Nik Nazmi menjelaskan kerajaan telah menilai semula cadangan dengan mengutamakan kawasan kritikal dengan siling peruntukan pembangunan keseluruhan 33 projek RTB ditetapkan Kementerian Kewangan berjumlah RM11.8 bilion, bukan RM16.6 bilion.
Jelasnya, kesemua projek RTB pada tahun ini masih melalui proses tender dengan 19 projek telah dikeluarkan surat setuju terima (SST).
“Belum ada perbelanjaan yang telah diperuntukkan untuk perbelanjaan pembangunan.
“Selain itu, projek RTB kerajaan melalui proses perolehan yang telus membabitkan tatakelola Kementerian Kewangan serta mesyuarat Lembaga Perolehan yang mana saya sendiri tidak terlibat,” katanya.
Semalam, Chegubard membuat laporan polis atas dakwaan berlaku rasuah melibatkan jutaan ringgit untuk mendapatkan projek RTB menyebabkan kos pelaksanannya meningkat.