
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata risikan dan siasatan sudah dilakukan pihaknya terhadap NGO terbabit.
“Dalam masa terdekat akan ada lagi pertubuhan (NGO) yang bakal diambil tindakan mahkamah (oleh SPRM).
“Mereka masih ‘menunggang’ agama, mengutip duit berjuta-juta (tetapi wang) masuk ke dalam akaun peribadi chairman (pengerusi NGO). Mereka ini akan dituduh di mahkamah tidak lama lagi,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata, sikap dermawan rakyat Malaysia yang mudah bersimpati dan menghulurkan bantuan diambil kesempatan oleh golongan tidak jujur.
“Rakyat tertipu kerana mereka suka membantu (golongan memerlukan) melalui dana awam. Mereka sangkakan duit didermakan itu untuk (membantu) orang susah. Contohnya mangsa bencana banjir besar di Aceh, Sumatera.
“Namun (sifat pemurah) diambil kesempatan organisasi ini. Saya dapati ada organisasi ini (NGO) termasuk yayasan (disiasat SPRM) didaftarkan bawah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia,” katanya.
Azam turut mempersoalkan pihak yang seharusnya memantau kegiatan NGO dan yayasan tersebut.
“Kami (SPRM) bukanlah agensi yang mengetuai semua perkara. Jabatan masing-masing perlu peka tentang apa yang berlaku. Kementerian-kementerian tertentu perlu pantau dan buka mata,” katanya.
Sebelum ini, SPRM pernah mengambil tindakan berkaitan dana derma membabitkan NGO kemanusiaan Syria dan Palestin kerana penyelewengan hampir RM100 juta.
Kes itu membabitkan penyalahgunaan wang sumbangan orang ramai untuk tujuan peribadi, pembelian aset mewah, pembelian mata wang digital kripto, atau kegunaan selain objektif asal NGO.
Tindakan membabitkan pengerusi dan pegawai kewangan NGO itu menerusi pembekuan akaun selain mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).